Mampu tangani krisis bukti karisma kepimpinan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan diambil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani COVID-19 menunjukkan beliau pemimpin berkarisma dan baik, akui Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.

- Advertisement -

Jelasnya, Muhyiddin memberi aspirasi kepada pihak dipimpinnya, membuat keputusan yang betul mengikut keperluan, mendengar pendapat pakar bidang berkaitan serta bertindak berdasar nasihat dan garis panduan.

Malah katanya, kemampuan mentadbir negara dengan baik bagi seorang pemimpin adalah bukan sahaja ketika waktu aman, tetapi juga dalam keadaan menghadapi krisis seperti sedang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini semalam.
 
“Tidak seperti kebanyakan pemimpin negara lain yang mengabaikan amaran daripada negara China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kerajaan Malaysia telah memandang serius amaran awal ini.

“Walaupun bakal menghadapi krisis ekonomi dan masalah-masalah lain akibat daripada bertindak menutup sempadan dan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020 iaitu kurang tiga minggu daripada tarikh Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kerajaan PN telah terbukti melakukan tindakan yang tepat. Usaha-usaha untuk menjejak, melakukan ujian COVID-19, mengasingkan mereka yang dijangkiti seterusnya memberikan rawatan telah membuahkan hasil,” pujinya.

Menurutnya, koordinasi setiap kementerian dan badan kerajaan dalam menangani wabak ini harus dipuji dan diikuti oleh negara-negara lain di mana Malaysia mempunyai kadar kematian rendah serta kadar kesembuhan antara tertinggi di dunia.

Selain Perintah Kawalan Pergerakan, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan, yang dilakukan bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti, telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19.

“Dalam satu tinjauan global, Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal COVID-19, malah menjadi salah satu negara contoh, iaitu penerimaan rakyat terhadap tindakan Kerajaan PN dalam mengekang wabak berkenaan.
 
“Kerajaan PN telah bersikap telus dalam menangani masalah wabak dengan memberikan maklumat yang mencukupi dan terkini kepada masyarakat melalui melalui saluran-saluran televisyen utama, saluran-saluran radio serta di media-media sosial termasuk di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Ucapan khas daripada Perdana Menteri adalah antara ucapan yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat,” ujarnya memperinci banyak langkah telah diusahakan kerajaan untuk mencegah perkara itu.

Beliau juga menghargai ketelusan Kerajaan PN memberi maklumat tepat, terperinci dan terkini yang meyakinkan rakyat bahawa kerajaan serius dan mempunyai komitmen tinggi untuk menjaga keselamatan dan kesihatan mereka.

Dr Dzulkhairi juga menyentuh mengenai ucapan Muhyiddin yang mudah difahami, menggunakan dalil serta air muka kesungguhannya selain doa dan seruannya untuk bergantung harap kepada Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 2/9/2020
 

- Advertisement -