Makanan dikategori perkhidmatan penting – MAFI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi, industri pertanian dan makanan telah dikategorikan sebagai perkhidmatan penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil langkah menubuhkan bilik gerakan pemantauan krisis Covid-19 bagi memantau dan memastikan bekalan makanan harian tidak terputus.

- Advertisement -

Langkah ini dibuat susulan PKP yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan pandemik wabak Covid-19 yang menyebabkan industri pertanian dan makanan antara yang turut terjejas.

Timbalan Menteri II MAFI, Che Abdullah Mat Nawi berkata, selain laporan harian dan cadangan intervensi isu-isu semasa juga dikemukakan dalam mesyuarat khas menteri-menteri dan mesyuarat jawatankuasa teknikal mengenai pelaksanaan PKP bagi pertimbangan dan penyelesaian.

Hasil tinjauan berterusan MAFI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapati bahawa status bekalan makanan sepanjang tempoh PKP adalah mencukup dan berada pada tahap harga yang terkawal.

Che Abdullah berkata demikian bagi menjawab pertanyan lisan Senator Alan Ling Sie Kiong mengenai sama ada industri makanan turut terjejas semasa penularan pandemik Covid-19 dan langkah kerajaan untuk memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukup semasa PKP.

Selain itu katanya, MAFI juga mengambil langkah mengeluarkan surat sokongan kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian makanan supaya aktiviti pengeluaran dan makanan boleh diteruskan dengan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan.

Perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong pengedaran makanan dan pemasaran makanan diberi pelepasan untuk beroperasi seperti sedia kala bagi memastikan bekalan produk-produk penting berterusan dan sampai kepada pengguna.

Sementara itu dalam soalan tambahan Senator Ustaz Ahmad Yahya meminta Che Abdullah mengulas bentuk usaha dan bantuan kerajaan membantu petani bagi merancakkan kembali hasil pertanian serta pendapatan mereka yang terjejas akibat pandemik itu.

Ujar Che Abdullah, di bawah program Prihatin MAFI sebanyak RM160 juta diperuntukan untuk pelaksanaan program jaminan bekalan makanan melalui subsidi atau insentif peningkatan mobilisasi logistik bekalan makanan serta pemantapan stok makanan.

Katanya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Nelayan Kawsan (PNK) diperuntukan dana khas untuk menggalakkan penglibatan dan aktiviti peladang dan nelayan dalam industri pertanian dan makanan.

“Di bawah PENJANA, MAFI juga telah diperuntukan sebanyak RM400 juta untuk melaksanakan tiga inisiatif khusus iaitu skim pembiayaan mikro kredit yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah 3.5 peratus untuk tempoh lima tahun diperuntukkan sebanyak RM350 juta.

“Kemudian program kebun komuniti iaitu berkebun secara berkomuniti kaedah pertanian bandar yang berbentuk RM500 untuk individu dan RM50,000 untuk komuniti dan juga program komoditi agromakanan yang menyediakan latihan industri makanan diperuntukan sebanyak RM40 juta,” katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

“Jadi keseluruhan adalah sebanyak RM400 juta. Jadi keseluruhan program atau projek yang disenaraikan termasuk projek infrastruktur dan peruntukan RM50 juta (dalam) Prihatin dan RM600 juta sedang dilaksanakan melalui pelbagai jabatan bagi memastikan petani dan penternak kita terbela sepanjang pandemik Covid-19 – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -