Hubungan luar Malaysia baik di bawah PN

PERKEMBANGAN hubungan luar Malaysia dalam era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun dalam tempoh yang agak singkat iaitu setengah tahun telah mencatatkan banyak pencapaian yang memberangsangkan. Antara pencapaian tersebut ialah seperti berikut:

1. Meneroka norma baharu dalam pengurusan hubungan luar menerusi pendekatan ‘diplomasi maya’ (virtual diplomacy).
2. Menyumbang terhadap usaha penjimatan kos dan belanjawan kewangan negara menerusi insiatif Malaysian Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) dan pendekatan diplomasi maya.
3. Menggembleng kerjasama rentas kementerian, sebagai contoh, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara, MITI dan Kementerian Pertahanan dalam usaha untuk menangani ancaman dan kesan pandemik COVID-19.
4. Memulihkan kembali hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara jiran, serantau dan antarabangsa yang telah terjejas semasa pentadbiran yang terdahulu (eg. India, China, UAE dan Arab Saudi).
5. Menjalinkan usaha kerjasama dua-hala dan pelbagai-hala dengan negara-negara jiran (eg. Singapura, Indonesia, Brunei), serantau (eg. ASEAN) dan antarabangsa (eg. China, Amerika Syarikat, Pakistan, India, Arab Saudi, UAE) khasnya dalam aspek pengurusan ancaman pandemik COVID-19.
6. Mengurus isu-isu penting serantau khasnya yang berkaitan dengan aspek keselamatan negara dan kepentingan nasional, sebagai contoh, isu PATI, ancaman kapal-kapal perang China di Laut China Selatan, isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.
7. Mengurus isu-isu antarabangsa yang lain yang mana Malaysia masih mempunyai kepentingan nasional padanya, sebagai contoh, isu Palestin, konflik di Timur Tengah, isu letupan bom di Lubnan dan isu di PBB.
8. Memperkenalkan pendekatan diplomasi kesihatan: Peranan kedutaan Malaysia di luar negara dalam urusan membawa pulang rakyat Malaysia dengan SOP yang betul dan menjaga hubungan baik di antara kedua-dua buat negara, eg. Urusan membawa balik pelajar-pelajar Malaysia daripada Mesir dan Yaman.
9. Memperkenalkan pendekatan diplomasi sains berkaitan dengan pembuatan vaksin COVID-19 yang membabitkan kerjasama rentas kementerian (eg. Kementerian Kesihatan dan Kementeria Sains dan Teknologi) dan antara negara-negara serantau serta global.

Peranan Wisma Putra dalam mengurus isu berkaitan dengan pandemik COVID-19 ialah antara contoh terbaik pencapaian hubungan luar Malaysia dalam era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Malaysia bertuah kerana mendapat kerjasama selain kesudian bantuan banyak negara selama tiga bulan berusaha mengawal pandemik COVID-19. Lebih membanggakan ialah semua bantuan tersebut diterima daripada beberapa buah negara yang amat dingin hubungannya dengan Malaysia sebelum ini. Hasil sumbangan tersebut telah membantu mengupayakan barisan hadapan terutama petugas kesihatan dalam memerangi COVID-19.

Pendek kata, segala pencapaian yang telah diperolehi oleh Malaysia sepanjang tempoh setengah tahun pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan bahawa peranan dan suaranya sudah kembali diperkukuhkan di peringkat antarabangsa. Sebagai rakyat, semua perkara ini bukan sahaja menimbulkan rasa bangga tetapi juga menambah keyakinan terhadap keupayaan negara kita sendiri. – HARAKAHDAILY 2/8/2020

Advertisement

Petikan kertas kerja pembentangan oleh Prof Madya Dr Rusdi Omar, Dr Mas Juliana Mukhtaruddin, Muhd Afifi Abdul Razak dan Misrinah Misbah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, Kuala Lumpur, semalam.