Dr Rais Yatim Speaker Dewan Negara yang baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Tan Sri Dato` Seri Utama Dr Rais Yatim dipilih memegang jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara menggantikan Tan Sri SA Vigneswaran yang bersara pada 22 Jun lalu.

Rais mempunyai majoriti sebanyak 45 undian menewaskan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang mendapat 19 undian daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Negara seramai 64 orang manakala seorang tidak hadir.

- Advertisement -

Keputusan undian itu diumumkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato’ Seri Abdul Halim Abd. Samad berdasarkan peraturan mesyuarat 2(3).

Majlis angkat sumpah dibuat pada jam 10.50 pagi tadi.

Rais merupakan Ahli Parlimen Jelebu yang pertama sejak Parlimen Jelebu ditubuhkan dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1974. Beliau menjadi Ahli Parlimen 3 kali: 1974-1978, 1982-1990, 1999-2013.

Beliau juga menjadi ADUN Pertang 1978-1982 dan dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan ke-3 yang dipilih selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam rekod penyertaan parti politik pula, beliau pernah mengganggotai 3 parti politik orang Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Parti Melayu Semangat 46 (S46), dan kini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sepanjang berada dalam Umno, beliau menjadi Ahli Dewan Rakyat, ADUN dan Menteri Besar. Semasa dalam S46 pula beliau tewas dalam pilihan raya. Dalam Bersatu pula, dipilih sebagai Ahli Dewan Negara.

Beliau pernah menjadi Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (Kekkwa) sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dan Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -