Siasat dalang pencerobohan tanah di Pahang

Senator Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pencerobohan tanah haram di beberapa kawasan melibatkan Raub, Pahang perlu disiasat secara telus bagi mengetahui siapakah dalang di sebalik jenayah tersebut.

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, pencerobohan tersebut melibatkan keluasan tanah yang besar dengan anggaran sebanyak 4,400 hektar serta tempoh masa yang lama, berpuluh tahun.

Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan kepada penceroboh mengikut lunas undang-undang yang disediakan supaya insiden ini dapat memberi pengajaran kepada masyarakat mengenai kesalahan berbuat demikian.

- Advertisement -

“Pertamanya, kita minta supaya pihak kerajaan mesti mengambil tindakan terhadap penerokaan tanah haram.

“Yang keduanya, ia dapat memberikan pengajaran kepada orang lain supaya jangan sewenang-wenangnya berbuat demikian.

“Ketiga, minta supaya berlakunya penyiasatan macam mana kes yang berpuluh tahun berlaku dan keluasan tanah yang diambil begitu luas tidak diambil tindakan.

“Kerana buka dusun ini, dusun Musang King, bukan batas tanam ubi kemili, ataupun batas ubi kayu.

“Sebab itu kita minta supaya satu tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang dibelakangnya,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut, kata Ustaz Idris, penyelesaian kepada isu tersebut mestilah dibuat dengan situasi menang-menang antara kerajaan negeri dan pengusaha Durian Musang King.

Katanya, mungkin hasil pendapatan pengusaha kebun dapat diberi kepada kerajaan negeri sebagai bayaran sewa atau bayaran cukai dan sebagainya.

“Keempatnya mesti penyelesaian itu dibuat dan hari ini kita minta supaya kawasan itu dikawal sementara menunggu keputusan daripada mahkamah.

“Yang penting jangan tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok itu dimusnahkan, sebaliknya biarlah bertindak secara win win situation supaya pokok itu tak dimusnahkan.

“Pekebun itu mungkin mereka boleh terus mengusahakan tanah tersebut dan kerajaan juga akan dapat memungut hasil daripada cukai dan juga pendapatan daripada tanah tersebut.

“Namun, dalam masa sama kita juga tak mahu tanah itu diberi sewenang-wenangnya,” tegasnya lagi.

Pada 1 Ogos lalu, dilaporkan bahawa kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub.

Nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Dianggarkan 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di Raub, dan tindakan tegas perlu segera diambil bagi menangani isu ini. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -