Pakatan politik PN mesti didaftarkan, ada organisasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan BN dengan majoriti besar pada PRK DUN N.58 Slim bukan semata-mata kemenangan Umno, tetapi datang dengan sokongan parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata, maka dengan cabaran-cabaran yang ada, PN perlu dibentuk sebagai pakatan politik berdaftar bersama organisasi lebih mantap.

- Advertisement -

Penegasan itu dinyatakan dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

“Siapa Presiden, siapa Timbalan Presidennya, siapa jawatankuasanya, semuanya tersusun. Dan keputusan itu perlu dibuat atas dasar pertubuhan Perikatan Nasional.

“Kalau ini belum terbentuk, maka ini akan menimbulkan suatu mungkin akan menimbulkan ketidakstabilan baru terutama apabila menjelang PRU15 nanti,” usul beliau menegaskan pertandingan tiga penjuru mesti dielak.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) sebenarnya tidak menerima sokongan mutlak pada PRU14 lalu, tetapi pakatan PN mesti wujud untuk kestabilan negara dan rakyat.

PN khususnya ujar beliau lagi, mesti membina sokongan dan keyakinan orang Melayu-Bumiputera di mana merupakan golongan dominan dalam negara yang akan menentukan kemenangan pada PRU.

Dr Mohd Noor menyeru untuk sokongan tersebut diraih dengan menggarap segala yang terdapat pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kertas kerjanya, beliau menyatakan bahawa BERSATU, PAS dan Umno membentuk kerjasama politik kerana Kerajaan PH sudah tidak lagi mampu membentuk kerajaan yang stabil dan kuat kerana krisis dalaman.

Faktor Melayu juga disentuhnya di mana ciri itu tiada pada PH, selain DAP walaupun menyatakan ianya parti berbilang kaum, tetapi tidak boleh diterima oleh sebahagian besar orang Melayu termasuk strategi politik dan amalan DAP itu sendiri.

“Prinsip samarata antara kaum dalam banyak aspek adalah bertentangan dengan falsafah Perlembagaan Persekutuan, khususnya dengan Perkara 153.

“PKR bukan dilihat sebagai sebuah parti politik berteraskan Melayu, tetapi lebih kepada sebuah parti politik berbilang kaum yang mempunyai Ahli Parlimen bukan Melayu yang agak besar.

“PAN (parti pecahan PAS) hanya mempunyai 11 Ahli Parlimen yang dilihat mempunyai ciri-ciri liberal dan berbeza dengan falsafah dan pegangan politik PAS dan falsafah politik dan perjuangan BERSATU,” ujarnya.

Demikian itu katanya, Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah kerajaan pimpinan Melayu yang benar-benar berkuasa dan mampu membuat keputusan demi kepentingan Melayu.

Sebaliknya akui beliau, DAP mempunyai pengaruh yang kuat dalam Kerajaan PH di mana walaupun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tetapi kedudukan dan pengaruhnya tidak sekuat seperti sebelumnya.

“Kedudukan dan pengaruh Tun semasa menjadi Perdana Menteri ke-4 (1981-2003) dan semasa menjadi Perdana Menteri ke-7 (Mei 2018-Februari 2020) di bawah PH adalah sangat berbeza. Hubungan antara PKR-DAP-PAN amat kuat memberi kesan kepada keputusan dan perjalanan Kerajaan PH.

“Perdana Menteri tidak mempunyai kedudukan dan pengaruh yang benar-benar kuat dalam membuat keputusan penting dalam Kerajaan PH,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

- Advertisement -