Muslimat jejak erti Merdeka sebenar

INDERA MAHKOTA: Lajnah Dakwah Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota telah mengadakan program Street Dakwah sempena Hari Kemerdekaan yang menjadi aktiviti tetap tahunan di Pusat Rekreasi Pantai Balok, di sini semalam.

Advertisement

Tujuan program yang diketuai Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Indera Mahkota, Zainah Mohamad ini agar segelintir pengunjung yang ditemui lebih terbuka dan merenungi bahawa Merdeka bukan sekadar laungan, tetapi lebih dari itu.

Sempena aktiviti ini, Muslimat PAS Indera Mahkota mengedarkan bahan cetakan yang menceritakan Sejarah Kemerdekaan dan Jalur Gemilang kecil sebagai hadiah kepada pengunjung pantai rekreasi ini.

Hampir seluruh pengunjung pantai yang ditemui menunjukkan reaksi gembira dengan kunjungan petugas Muslimat dan membaca risalah diberikan, namun ada juga tidak memberi reaksi bila diajukan mengenai kefahaman berkenaan Hari Kemerdekaan.

Menariknya, ada pengunjung wanita yang ditemui petugas Ameerah, Amira Syazwani Ridzuan memberi ulasan memberangsangkan apabila menyatakan bahawa rakyat Malaysia khasnya beragama Islam masih belum lagi merdeka dengan sebenarnya.

Menurutnya yang enggan disiarkan nama, merdeka hari ini cuma pada negara Malaysia iaitu bebas dari cengkeman penjajah, akan tetapi rakyatnya masih dijajah oleh kesan-kesan penjajahan masa lampau.

“Sehingga ada kemajuan yang dikecapi kini masih bergantung kepada negara Barat contoh paling rapat ialah penggunaan Facebook dan media sosial lain,” ujar wanita itu.

Menurut Zainah, walaupun aktiviti ini ringkas, namun matlamat yang ingin disampaikan kepada mereka agar mengerti kemerdekaan sebenar dari perspektif Islam dihayati, sudah dilaksanakan pihaknya.

Turut menyertai program santai ini ialah wakil Ameerah dan ahli Kelab As-Sabiqat. – HARAKAHDAILY 1/9/2020