LKKP beri saranan tingkat bantuan JKM

Dr Rosni Adam

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKP) memberikan beberapa saranan kepada kerajaan untuk diambil perhatian terhadap cadangan Perdana Menteri (PM) untuk meningkatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1, 000.

Pengerusinya, Dr Rosni Adam berkata antara saranannya adalah had kenaikan yang dicadangkan dapat dijayakan dengan diseimbangkan kemampuan semasa kewangan negara.

Advertisement

“Selain meningkatkan had bantuan, wajar juga pihak kerajaan melihat had kelayakan penerima agar lebih ramai rakyat yang layak diberi perhatian.

“11 kumpulan penerima semasa termasuk dari komuniti OKU (orang kurang upaya), warga emas, penjaga OKU, dan pesakit kronik misalnya tentunya berhadapan dengan situasi yang kian kompleks,” katanya kepada Harakahdaily. hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pimpinan Masyarakat bersama Perdana Menteri di Sandakan, berkata beliau akan mengusulkan supaya bantuan bulanan JKM yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000.

Selain itu, Rosni berkata kerajaan juga wajar memberi perhatian bagi memperkasa kumpulan-kumpulan sasar di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) agar mampu berhadapan dengan cabaran semasa.

Malahan, program 2 Years Exit misalnya wajar diperkasa bagi kepentingan kumpulan sasar.

Berikutan daripada itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan mengadakan suatu Task Force khusus bagi setiap kumpulan sasar selari dengan saranan kenaikan had bantuan yang dicadangkan.

“Bagi tujuan itu, disarankan agar kerajaan mengadakan suatu Task Force khusus bagi setiap kumpulan sasar, selari dengan saranan kenaikan had bantuan yang dicadangkan,” ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata cadangan PM ini dibuat sebaik pengumuman kerajaan bagi kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada Julai lepas.

Demikian itu, katanya bantuan yang diperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion bagi 500,000 penerima pasti meningkat. – HARAKAHDAILY 1/9/2020