ZAIM kunci gerak kerja Pemuda PAS Sabah

- Advertisement -

SANDAKAN: Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan mengingatkan kepada Pemuda PAS Sabah untuk mengamalkan empat panduan dalam gerak kerja yang diringkaskan beliau kepada akronim ZAIM.

- Advertisement -

Jelasnya, zuhud, amal jama’ie, ilmu dan muhasabah adalah huraian bagi akronim tersebut yang merupakan elemen penting bagi memastikan gerak kerja Pemuda PAS sentiasa dilakukan dalam keadaan cemerlang.

Dr Aliakbar menyatakan demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang diadakan dengan penuh gemilang di Hotel Sandakan Style, di sini semalam.

“Pemuda PAS perlu ada sifat zuhud dan tidak berkejar untuk dunia semata-mata, malah menjalankan tugasan yang diberikan untuk kita dengan penuh amanah dan tangunggjawab,” ujarnya dalam Muktamar Ke-33 itu.

Tambahnya, semasa PRU14 yang lepas, PAS bergerak sendiri dengan nama sendiri, tapi kini dengan kebijaksanaan pemimpin atasan, PAS bersama-sama parti lain bersatu bagi membina Malaysia yang lebih sejahtera.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia mengingatkan bahawa ilmu dan amal perlu bergerak seiring kerana ia akan memberikan natijah daripada perjuangan yang digerakkan bersama.

Menambah penjelasan kepada panduan tersebut, beliau menyatakan bahawa Pemuda PAS juga seharusnya sentiasa muhasabah dengan  setiap perbuatan sepanjang bergerak kerja agar tidak melakukan kesilapan berulang.

Majlis yang dilaksanakan dalam suasana pematuhan SOP itu turut disempurnakan dengan penyampaian beberapa anugerah seperti Anugerah Tokoh Pemuda, Anugerak DPPK Unggul, Anugerah Lajnah Terbaik, Anugerah Pemuda Ansarullah dan lain-lain.

Ucaptama telah disampaikan Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin dan kelangsungan acara kali ini dipimpin oleh Ketua Panitia Muktamar, Asmaidi Asbi. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -