Sambut merdeka dengan laungan takbir

BALIK PULAU: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Balik Pulau telah meraikan Sambutan Kemerdekaan Ke-63 dengan mengadakan program riadah lasak pendakian ke Rumah Kaca terletak di Bukit Pondok Upeh, di sini hari ini.

Advertisement

Selain meninggikan lagi semangat cintakan tanah air, program ini juga sebagai menguatkan keimanan kepada Allah S.W.T dengan menghayati kebesaran-Nya dari alam semula jadi yang terbentang indah dan penuh keunikan.

Juga dalam santai rehat melihat pemandangan alam yang menenangkan itu, program ini sudah tentunya bagi mempereratkan lagi hubungan ukhuwah antara sesama anggota AMAL dan Pemuda PAS Balik Pulau.

Selain itu, para peserta pendakian ini turut menerima pengisian rohani mengenai peranan anak muda sebagai pewaris dalam memimpin negara yang seharusnya mempelajari dan memahami nilai sejarah kemerdekaan negara.

Di atas puncak yang meluaskan penglihatan kepada panorama sebahagian Pulau Mutiara ini, para peserta mengakhiri pertemuan sebelum turun dengan sesi bergambar dan menggemakan laungan takbir. – HARAKAHDAILY 31/8/2020