Sambut merdeka dengan bersih perkuburan lama

- Advertisement -

IPOH: Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-63 turut diisi dengan aktiviti kemasyarakatan menerusi membersihkan tanah perkuburan lama yang diadakan di Kampung Kuala Punti, Lahat, di sini semalam.

- Advertisement -

Gotong-Royong Merdeka dengan kerjasama Masjid Ibnu Salam ini diharap menjadi contoh kepada masyarakat dan supaya maklum bahawa di perkuburan ini telah bersemadi orang kenamaan sejak 100 tahun dahulu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin yang juga ADUN Selama, tanah perkuburan tersebut telah wujud sejak tahun 1910 lagi.

“Sekarang sedang di dalam kajian daripada pakar sejarah untuk mengenalpasti siapa orang orang besar yang dikebumikan di tanah perkuburan seluas lima ekar ini.

“Selepas ini kita mengarahkan supaya Jawatankuasa Tanah Perkuburan ditubuhkan segera untuk memudahkan pihak MAIPk dan kerajaan negeri membantu mereka dari segi prasarana seperti pagar, longkang dan sebagainya,” ujar beliau.

Lebih kurang 250 penduduk kampung termasuk 20 anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Ipoh Timur menyertai gotong-royong tersebut yang bermula pada jam 8 pagi.

Kata Ustaz Akmal lagi, pendekatan sambutan kemerdekaan yang diambil oleh penduduk kampung itu wajar menjadi contoh di tempat lain untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

“Di tempat lain biasanya sambut Hari Kebangsaan dengan Kayuhan Merdeka dan lain-lain, tetapi penduduk di sini memilih untuk membersihkan kubur,” pujinya.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Dewan Bandaraya Ipoh iaitu Ustaz Abu Bakar Husein dan Ustaz Azmi Murad Mohd Yusuf. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -