102 kaum India mohon sertai PAS di Bangi

- Advertisement -

BANGI: Perpaduan adalah tiang seri kepada kestabilan dalam sesebuah negara di mana Islam juga menyeru umatnya untuk menjalinkan hubungan li ta’arafu sesama manusia meskipun berbeza ras, agama dan warna kulit.

- Advertisement -

Sehubungan itu, satu program melibatkan masyarakat bukan-Islam telah dianjurkan PAS Kawasan Bangi iaitu Semarak Cinta Negara melibatkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) di PASTI Kajang Utama, Kajang, di sini semalam.

Program sempena sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-63 ini adalah menifestasi ukhuwah dan kebersamaan DHPP dengan PAS Bangi yang begitu baik dan erat sejak dari awal sayap bukan-Islam ini ditubuhkan dalam PAS.

Bersempena program ini juga sebanyak 102 borang keahlian baru DHPP telah diserahkan dan ditandatangani sendiri sokongannya secara istimewa oleh Yang Dipertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah.

Juga sebagai tanda penghargaan, PAS Bangi telah bersetuju untuk membayar yuran takaful tahun pertama secara berperingkat bagi ahli DHPP yang memohon dan mempunyai maklumat lengkap.

“Ini menunjukkan bahawa masyarakat India dan bukan-Melayu makin ramai bersama dengan PAS, kerana keikhlasan yang dibawa PAS itu untuk semua orang.

“Tidak kira agama apa, bangsa apa, semua kita nak bersama untuk Malaysia yang sejahtera. Kita nak Malaysia lebih baik untuk semua orang tanpa kecuali,” ujar Ustaz Shafie ketika ditemu usai majlis berkenaan.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk bersama dengan PAS dalam aktiviti kemasyarakatan kerana ia adalah salah satu antara cara yang boleh dilakukan untuk memajukan negara Malaysia. – HARAKAHDAILY 31/8/2020

- Advertisement -