Tiada yang kuat sendirian, mesti bermuafakat

- Advertisement -

IPOH: Kemenangan calon BN dengan majoriti besar ternyata bukan milik BN semata-mata, malah ia adalah kejayaan bersama antara ketiga-tiga parti PAS, Umno dan BERSATU, demikian ulas Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki.

- Advertisement -

Jelasnya, kemenangan besar dengan majoriti 10,965 undi yang diraih di dalam PRK DUN N.58 Slim ini menggambarkan pengundi menerima permuafakatan dan penyatuan ketiga-tiga parti Perikatan Nasional (PN), sekali gus mahukan ia terus bergandingan dalam PRU15.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyatakan, kemenangan unggul ini berjaya diraih hasil dari pengorbanan dan jiwa besar seluruh pimpinan dan ahli dari ketiga-tiga parti Melayu-Islam ini tanpa melihat kepada sejarah persengketaan lampau.

“Pengundi PAS ada (yang) pertama kali dalam sejarah mengundi dacing (BN). Bukan sekadar mengundi, malahan sanggup menjadi petugas pillihan raya bagi memastikan calon BN menang besar.

“Bendera BN tergantung megah di markaz-markaz PAS, petugas PAS dan BN bebas keluar masuk bilik gerakan masing-masing, makan semeja, jalan beriringan menemui pengundi dari pintu ke pintu.

“Inilah hebatnya (suasana) penyatuan ummah atas nama Melayu dan Islam. Petugas-petugas bukan-Melayu dari MCA, MIC dan DHPP juga tidak ketinggalan turut bergandingan membantu berkempen memenangkan calon BN,” kongsinya.

Ketika mengulas mengenai kedudukan PN yang kini dilihat semakin mengukuh di negeri Perak ini, Ustaz Misbah menerangkan kemesraan yang dijelmakan ahli-ahli PAS, Umno dan BERSATU berjaya diikat antara satu sama lain itu bermula dengan mendahulukan konsep perpaduan.

“Menjadi harapan rakyat agar semua parti Melayu-Islam membuang keegoaan, kerana tidak ada parti yang dilihat hebat dan kuat tanpa pergantungan antara satu sama lain. PRK akan datang jika ditakdirkan oleh Allah, mungkin giliran PAS atau BERSATU pula yang akan bertanding. PAS dan BERSATU tidak akan menang dan kuat tanpa dibantu oleh jentera BN.

“Masa depan kuasa politik Melayu-Islam telah diisyaratkan melalui PRK Slim ini. Ambillah isyarat ini sebagai panduan dan semangat untuk memastikan PRU15, kuasa politik Melayu-Islam dimartabatkan. Itu semua adalah alat untuk agama Islam didaulatkan di persada bumi Malaysia ini,” pesannya

Terangnya lanjut, ketuhan permuafakatan MN dan PN juga akan diteruskan dengan memastikan kemenangan besar turut diraih dalam PRN Sabah di mana strategi yang dilaksanakan mungkin berbeza namun mengekalkan pendekatan sama melalui semangat kerjasama PN. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -