Terjemahan kerjasama BN, PAS dan BERSATU – Zahid

TANJUNG MALIM: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN N.58 Slim merupakan terjemahan persepakatan antara parti itu bersama PAS dan BERSATU, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Advertisement

Beliau berkata ia juga menandakan segala kerjasama disusun penuh berstruktur dan bijaksana antara ketiga-tiga parti.

“Kemenangan ini amat memberangsangkan dengan majoriti rasmi 10,945, tentunya ini adalah satu terjemahan kerjasama semua pihak terutama rakan-rakan dalam parti-parti ini,” katanya.

Beliau ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan PRK DUN Slim di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, malam tadi.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakil PEJUANG meraih 2,115 undi manakala bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Ahmad Zahid berkata kejayaan itu juga merupakan tanda bahawa sekiranya persepakatan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan depan, kemenangan juga akan berpihak kepada calon-calon BN dan rakan-rakan dalam PN.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kemenangan berkenaan jelas menunjukkan trend terkini sokongan orang ramai terhadap BN, Muafakat Nasional dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata beliau sendiri tidak menyangka calon BN memperoleh majoriti yang begitu besar.

“Saya sendiri tidak menjangkakan majoriti yang begini besar terutamanya apabila calon yang walaupun Bebas tetapi kita tahu siapa di belakangnya dan ini jelas menunjukkan penolakan kepada penglibatan parti PEJUANG bagi pengundi PRK DUN Slim,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan PRK kali ini merupakan pencapaian baik dan berharap ‘feel good factor’ itu dibawa ke PRN Sabah, 26 September ini.

“Sudah tentu Sabah kami telah bekerjasama. Sekarang kami sedang berusaha untuk memastikan bahawa ia akan menjadi satu lawan satu menentang WARISAN. Sebenarnya, pertengahan minggu depan kami akan dapat menyelesaikan dari segi pembahagian kerusi dalam kalangan parti Perikatan Nasional,” katanya. – BERNAMA