Rakyat hantar PH ke ‘penghujung hayat’

- Advertisement -

IPOH: Kemenangan besar calon BN pada PRK DUN N.58 Slim menyaksikan undi daripada PAS, Umno dan BERSATU telah mengikat kekuatan dan kestabilan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, berikut ulas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria.

- Advertisement -

Katanya, dengan kemenangan selesa majoriti 10,945 undi dalam PRK pertama di negeri Perak ini, PN berjaya membuktikan keunggulan pemerintahannya, sekali gus memberikan signal jelas bahawa Kerajaan PN kini berjaya menambat hati rakyat.

“Ini PRK pertama Kerajaan PN yang menyaksikan kejayaan menyatukan perpecahan undi Melayu pada PRU14 lalu. 13,060 undi yang diperoleh BN dalam PRK ini di mana sebelumnya hanya 8,327 undi telah membuktikan ahli PAS keseluruhannya (juga) menyumbangkan undi dalam kemenangan ini.

“(Berkemungkinan besar) hampir tiada ahli PAS yang memberi undi kepada calon Bebas terutamanya PEJUANG yang didokongi oleh Tun Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH). (Tetapi) sebaliknya undi PH pada PRU14 lalu telahpun beralih kepada komponen PN,” jelas Razman.

Selain itu, Razman juga menerangkan kemenangan yang berjaya diraih PAS dan Umno melalui gagasan Muafakat Nasional dalam semua PRK yang lampau termasuk kejayaan terkini mengekalkan kerusi calon BN di PRK Slim ini merupakan gambaran landskap politik baharu negara.

Hal ini kerana ulasnya, perubahan drastik dilakukan rakyat yang diterjemahkan dalam semua PRK pasca PRU-14 ini membuktikan rakyat Malaysia kini selesa berada di bawah tampuk pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional.

“Jika trend (kemenangan) PRK Slim ini dibawa ke PRN Sabah dan PRU15 akan datang, nampaknya (kedudukan) Pakatan Harapan sudah berada di penghujung hayat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -