PRK Slim: Referendum rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN N.58 Slim semalam merupakan isyarat jelas bahawa rakyat memberikan mandat yang padu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal mentadbir negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kemenangan ini juga adalah penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) supaya tidak kembali menjadi pemerintah.

- Advertisement -

“Rakyat tidak lagi termakan dengan harapan dan janji palsu Pakatan Harapan. PRK DUN Slim adalah satu referendum rakyat menolak Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya jurang majoriti terhadap jumlah undian calon bagi Muafakat Nasional (MN) dalam PRK juga meningkat sehingga berkali ganda berbanding dengan PRU14.

Ujar Shahir ini memberikan isyarat jelas bahawa persefahaman dan kerjasama MN semakin teguh antara Umno dan PAS seterusnya PN, BN dan Gagasan Sejahtera.

Selain itu katanya, pengundi PAS telah menunjukkan setia kawan melalui MN untuk mengundi BN, hingga keseluruhan undi mereka pada PRU14 diberikan kepada BN.

Katanya, manakala orang Cina dan India di DUN Slim menolak politik rasis PH dengan memberikan undi mereka kepada calon Melayu daripada BN.

“Orang Cina dan India sudah beralih arah daripada Pakatan Harapan dan mengundi Barisan Nasional setelah melihat kegagalan Pakatan Harapan memerintah negara selama 22 bulan.

“Anak muda tidak lagi termakan dengan janji-janji manis pemuda Pakatan Harapan yang dicanang sebelum ini. Jelas, anak muda mual dan muak dengan janji peluang pekerjaan yang menjadi harapan palsu,” kata Shahir.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (2,115 undi) dan Santhara Sekaran Subramaniam, yang memperoleh 276 undi.

Mohd Zaidi memperoleh majoriti 10,945 undi berikutan 68.4 peratus keluar mengundi daripada 23,094 pengundi keseluruhan, dengan 327 kertas undi pula ditolak.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -