PM sedih Shafie tidak bersamanya pimpin kerajaan

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluahkan kesedihan kerana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang disifatkannya sebagai sahabat baik tidak bersamanya dalam memimpin kerajaan. 

Advertisement

Perdana Menteri berkata beliau bersama Mohd Shafie merupakan rakan seperjuangan terutamanya dalam Umno sehingga beliau dipecat dan Mohd Shafie membuat keputusan meninggalkan parti itu. 

“Tetapi cerita yang agak saya sedih ialah waktu mana saya memimpin negara sebagai perdana menteri pimpinan negeri Sabah tidak bersama saya, itu (Mohd Shafie) sahabat baik saya kerana dalam soal politik ini kadang-kadang hari ini sahabat esok jadi lawan.

“Tetapi soal mentadbir negara, sebaik mungkinnya kerajaan Persekutuan dan negeri mesti sama, sehati dan sejiwa,” katanya yang turut menceritakan Mohd Shafie menyambutnya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini pagi semalam. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama YAB Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini semalam. 

Muhyiddin yang kali pertama melakukan lawatan ke negeri ini sebagai Perdana Menteri disambut Mohd Shafie dan gambar dua pemimpin melakukan fist bump di lapangan terbang itu kini dikongsi ramai pengguna media sosial dan internet. – BERNAMA