Peralihan sokongan rakyat jauh telah berubah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peralihan sokongan rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) kepada gabungan politik baharu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin ketara dari keputusan yang ditunjukkan pada PRK DUN N.58 Slim, semalam.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PH hanya menang lima daripada 12 PRK yang berlaku selepas PRU14, dengan terakhir pada 11 Mei 2019 di PRK Parlimen Sandakan mempertahankan kerusi milik DAP.

Menurutnya, Sandakan hanyalah ‘saguhati’ buat DAP atas pelbagai ‘kelebihan yang dipergunakan’, tetapi sebenarnya kepercayaan rakyat kepada PH melandai lebih awal di mana PRK DUN Seri Setia pada 8 September 2018 menjadi titik terakhirnya.

Setelah itu terang beliau, rakyat sedar kesilapan memberi mandat kepada PH dan bangkit secara perkasa menyerlahkan amaran buat pakatan itu apabila bersolidariti mega di Ibu Negara tanggal 8 Disember pada Himpunan Bantah ICERD.

“Akibat menimpa PH ditunjukkan rakyat seawal 26 Januari 2019 apabila cubaan merampas kerusi pada PRK Parlimen Cameron Highlands gagal. Sebaliknya persefahaman pembangkang khususnya PAS dan BN telah menambah undi, manakala calon DAP pula berkurang.

“Paling menyakitkan buat gabungan PH dan menjadi indikator betapa rakyat menolak dan telah beralih sokongan daripada mereka, apabila hilang dua kerusi dari PRK DUN Semenyih dan PRK Parlimen Tanjung Piai pada 2 Mac dan 16 November 2019.

“Dan antara dua PRK itu, telah berlaku PRK DUN Rantau pada 13 April 2019 di mana PH yang diwakili calon PKR sekali lagi gagal untuk merampas kerusi tersebut,” ujarnya menegaskan hubungan PAS-Umno makin utuh ketika itu.

Malah kupas Kamaruzaman, kemelut dalaman PH menyaksikan angin perubahan bertiup di Negeri Di Bawah Bayu apabila pada 18 Januari lalu gabungan pembangkang berjaya memenangi PRK Kimanis mengekalkan kerusi BN.

Beliau tidak menolak kemenangan di Kimanis itu hasil gelombang positif agenda Penyatuan Ummah hingga secara rasminya termeterai Piagam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno yang berlaku sebelumnya iaitu pada 14 September 2019.

“PH semakin tidak berdaya setelah berpecah dan terbentuknya gabungan baharu yang secara tidak rasmi disebut media dengan nama Perikatan Nasional. Kesannya, pada PRK DUN Chini 4 Julai lalu, PH lebih awal angkat bendera putih tidak melawan.

“Lebih teruk, ketika mereka sombong mengaku mendapat mandat rakyat dan menuduh PN sebagai ‘kerajaan pintu belakang’, hakikatnya rakyat sendiri menunjukkan peralihan sokongan jelas pada PRK DUN Slim yang terbaharu.

“Ini sokongan nyata kepada PN yang semakin positif diterima rakyat dan penolakan jelas kepada PH apabila undi dan majoriti diterima pada semalam semakin besar,” ujar beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Harakah.

Hatta menurutnya, jika ditambah semua pengundi yang tidak keluar mengundi kepada undi calon Bebas tajaan PEJUANG dan dibantu PH itu sekalipun, mereka masih gagal menyaingi lonjakan diterima calon BN mewakili MN dan PN.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi tajaan PEJUANG serta disokong PH yang mendapat 2,115 undi dan Santhara Sekaran Subramaniam memperoleh 276 undi.

Majoriti besar 10,945 undi itu diperoleh Mohd Zaidi walaupun angka keluar mengundi cuma 68.4 peratus atau 15,451 daripada 23,094 pengundi DUN Slim keseluruhannya.

Bidas Kamaruzaman, mandat rakyat yang menjadi mainan mulut pemimpin PH bukan lagi tidak relevan disebut dan telah dihancurkan mereka, paling ketara deposit sokongan kaum bukan-Islam juga terang menunjukkan sudah beralih.

Jelas beliau, peralihan masyarakat bukan-Melayu kepada PN dan penolakan terhadap PH itu signifikan dengan kajian dibentangkan satu badan penyelidik QGenAnalysts (QGA) yang berbaki 9.03 peratus sokongan. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -