Pembinaan projek ECRL bermula November

- Advertisement -

MACHANG: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini memasuki fasa perwartaan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Balik Tanah bagi kawasan yang terlibat dengan jajaran terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr. Azami Mohd Nor berkata, kerja-kerja awal pembinaan akan bermula November 2020 di Tunjong.

- Advertisement -

Katanya Kelantan mendapat dua stesen iaitu di Pasir Puteh sebagai lokasi kargo dan penumpang serta di Tunjong khas untuk penumpang.

“Kita minta dua stesen tersebut dahulu, berdasarkan taklimat baru-baru ini kerajaan minta kita kekalkan dua stesen berkenaan.

“Mungkin pada masa depan nanti boleh minta sampai ke Pengkalan Kubor yakni bergantung kepada kedudukan bajet,” katanya selepas meninjau kerja-kerja membaik pulih kerosakan paip di Kampung Pulai Chondong di sini, hari ini.

Kerosakan itu menyebabkan lebih 100,000 isi rumah membabitkan 21,000 pemilik akaun Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terjejas.

AKSB menjangka kerja-kerja itu siap dalam tiga atau empat hari lagi yang melibatkan sebahagian pengguna di Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh.

Turut hadir Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd Dato Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Pengurus Besar AKSB, Dato’ Dr Ir Azuhan Mohamed. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -