PAS Bakri lancar Jentera PRU, DHPP Kawasan

- Advertisement -

BAKRI: Majlis pelancaran serentak Jentera Pilihan Raya dan Dewan Himpunan Pendukung PAS Kawasan Bakri telah dilaksanakan dengan jayanya bertempat Markaz PAS Bakri, Simpang Jeram, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua PAS Bakri, Ustaz Kamalulnizam Mohd Suhut dengan pelancaran tersebut bermakna PAS Bakri telah bersedia menggerakkan pengarahan berkaitan pilihan raya yang sedia dimaklumi akan berlaku bila-bila masa.

Selain itu katanya, kewujudan rasmi sayap anggota bukan-Islam itu akan menguat dan meluaskan lagi agenda serta usaha untuk mendekati penduduk bukan-Islam secara khusus dalam meningkatkan sokongan kepada PAS.

Turut hadir sama adalah ADUN PAS Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep dan Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin serta Timbalan Pengarah Zon 1Jabatan Pilihan Raya PAS Johor, Mohamed Nasir Ahmed.

Juga hadir Timbalan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Negeri Johor, Purushotaman Selladorai dan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Bakri, Subramanian Kupusamy dan anggota jentera pilihan raya semua peringkat.

Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS Johor, Selvendran Velu dalam ucapannya menyeru semua ahli sayap itu untuk terus mendokong PAS kerana beliau yakin PAS yang berlandaskan Al Quran sentiasa berlaku adil dan saksama.

Menurutnya, hal itu didapati sendiri beliau dari pengalaman Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Johor, Kumutha Raman yang dijaga baik oleh PAS selama 13 tahun beliau bersama parti Islam ini.

Bakri merupakan kawasan kelima dalam negeri Johor bagi pelancaran Dewan Himpunan Pendukung PAS Kawasan dan kemuncak majlis disempurnakan Timbalan Pengarah 2 Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia Mohd Saifuddin Hassan.

Pelancaran tersebut telah diakhiri dengan penyampaian bendera PAS dan Tabung PRU kepada Penyelaras DUN. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -