Muafakat Nasional dapat sokongan rakyat

Foto Media Presiden PAS
- Advertisement -

KEPUTUSAN PRK Slim yang memihak kepada Muafakat Nasional (MN) dengan majoriti melebihi 10,000 undi adalah satu penanda aras perubahan politik Malaysia.

Rakyat sudah menolak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam arena politik Malaysia.

- Advertisement -

Saban hari rakyat semakin muak dengan telatah Pakatan Harapan (PH) dalam memainkan isu yang tidak memberi manfaat.

Malahan janji PH untuk rakyat sehingga hari ini tidak menampakkan sesuatu yang positif dalam kawasan DUN mahupun Parlimen yang diwakili mereka.

Anggapan bahawa dengan adanya Tun Dr Mahathir dalam arena politik pasca 25 Februari boleh membantu kemenangan PH adalah ternyata meleset.

Malahan suara Dato Seri Anwar Ibrahim semakin lenyap dan tidak muncul dalam saat rakyat memerlukannya.

Ini menunjukkan bahawa PH kini hanya tahu berkata-kata tetapi tiada satu pun keprihatinan ke atas kesusahan hidup rakyat.

Apa yang jelas ialah faktor penolakan ke atas kepimpinan Tun Dr Mahathir turut memberi kesan ke atas Pejuang yang berlandaskan semangat kosong.

Amat menyedihkan apabila Tun Dr Mahathir bukan lagi dianggap sebagai pejuang yang membela nasib Melayu dan Bumiputera apatah lagi kedaulatan agama Islam.

Sepanjang 22 bulan pemerintahan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh boleh dikatakan telah memberi satu pengajaran dan peringatan bahawa kepimpinan Tun Dr Mahathir tidak lagi sama seperti sewaktu menjadi Perdana Menteri Keempat.

Malahan corak kepimpinan beliau dalam masa PH menjadi kerajaan adalah lebih memihak kepada mereka yang kurang suka kepada nilai-nilai Islam dan Melayu.

Ini menyebabkan rakyat terutama Melayu dan Bumiputera sedar bahawa Tun Dr Mahathir tidak boleh lagi diharapkan untuk membela Melayu dan Islam.

Nada beliau sering memperkecil dan memperlekeh Melayu dengan mengatakan Melayu pemalas dan sebagainya.

Malahan beliau kurang mampu menyelesaikan permasalahan Melayu dan Bumiputera apabila melibatkan kepentingan dan agenda lain.

Kelemahan beliau sendiri tidak pernah ditegur oleh kalangan komponen kepimpinan parti lain dalam PH.

Apa yang rakyat lihat ialah pertikaian terbuka antara komponen parti PH apabila berdepan dengan sesuatu isu.

Ada kalanya isu yang ditimbulkan boleh diselesaikan tetapi dibiarkan sehingga memberi kesan ke atas kehidupan rakyat.

Inilah pengajaran yang diterima dan akur oleh rakyat. Rakyat masih ingat bagaimana derita dan sengsara hidup dalam satu janji wacana Malaysia Baharu.

Tetapi apa yang berlaku ialah semakin teruk kehidupan rakyat. Malahan ketelusan dan keintegritian yang dijanjikan hanyalah semangat kosong sahaja.

Akibatnya Tun Dr Mahathir semakin hilang pengaruhnya dalam kalangan rakyat yang dulunya percaya akan beliau disebabkan janji bulan dan bintang.

Tetapi apa yang rakyat dapat adalah hampas dan habuk. Maka tidak hairan dalam penolakan rakyat ke atas PH dan kembali semula kepada MN yang dilihat lebih prihatin dalam PRK Slim.

Pengamatan trend penolakan ke atas Tun Dr Mahathir akan berterusan dan mampu memberikan impak kemungkinan Warisan akan kalah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Apa yang berlaku di Semenanjung pasti akan berlaku di Sabah.

Bersediakah Tun Dr Mahathir menerima penolakan kedua jika Warisan kalah dalam Pilihan Raya Negeri Sabah nanti. Berundurlah sebelum diundurkan dalam arena politik hari ini.

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH
Pensyarah Kanan UiTM Kelantan – HARAKAHDAILY 30/8/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -