MTIB akan bina surau buluh

- Advertisement -

KUALA TERENGGNU: Sebuah surau berasaskan buluh yang akan dibina di Dataran Tembusu, Kuala Nerus bakal menjadi ikon pelancongan terbaru di negeri itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata surau itu juga akan berperanan sebagai pusat penyelidikan bagi pembinaan berasaskan buluh pertama di negara.

- Advertisement -

“(Sebenarnya) Surau buluh sudah ada di Malaysia tetapi surau buluh untuk dijadikan pusat penyelidikan dan kajian buluh belum ada, ini yang pertama dibuat.

“Kita juga sudah ada masjid buluh di Gua Musang (Kelantan) dan Kuala Kangsar (Perak). Bezanya adalah kita bukan hanya surau daripada buluh tetapi produk yang dihasilkan daripada buluh itu akan dijadikan sampel penyelidikan untuk semua orang di bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, surau itu akan dibina di atas tapak seluas 3,000 kaki persegi kini sedang dalam proses meratakan tanah dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan.

Jelasnya lagi, projek ini akan dibina oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd dengan kos berjumlah RM400,000 merangkumi kos pembangunan dan penyelidikan.

Terdahulu, berlangsungnya majlis menandatangani memorandum perjanjian berkenaan yang turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Perjanjian itu ditandatangi oleh MTIB diwakili Ketua Pengarahnya, Mohd Kheiruddin Mohd Rani; BJA diwakili Pengarah Urusannya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan dan Golden Pharos diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -