Maut kena renjatan elektrik di padang bola

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di padang bola di Jalan Impian Emas, 14, Taman Impian Emas di sini petang semalam.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata dalam kejadian pada kira-kira 2:45 petang itu, Musyrif Hakimi Musaffendy dipercayai tidak memakai kasut ketika berada di padang tersebut dan kawasan di mana mangsa berdiri ketika itu basah berikutan hujan.

“Pihak polis menerima panggilan telefon pada kira-kira 3 petang dengan dimaklumkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak lelaki terkena renjatan elektrik.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa sempat mengadu kepada seorang rakannya bahawa dia berasa panas dan kemudiannya rebah,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata sebelum itu, terdapat aktiviti bulan kemerdekaan dan kibaran Jalur Gemilang anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola tersebut yang bermula dari 8:30 pagi hingga 4 petang.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

- Advertisement -