Malaysia Prihatin: Bersama menjaga negara

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut hari kemerdekaan ke-63 buat seluruh rakyat Malaysia yang diraikan.

Advertisement

‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi tema hari merdeka pada tahun ini pasti memberi seribu satu makna dan rasa. Manakan tidak, hampir 2 bulan berkurung telah menukar rutin harian kita seterusnya memberi kesan kepada pertumbuhan negara. Pun begitu, kita telah berjaya buktikan bahawa perpaduan dan kerjasama dapat menjadi senjata ampuh dalam perjuangan mendepani wabak COVID-19 dan apa jua cabaran.

Justeru, nikmat 63 tahun merdeka ini wajar disyukuri dan diisi dengan nilai kemerdekaan yang sebenar. Sebagaimana yang pernah disebut oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, “Zaman ini bukan lagi zaman penjajahan. Negara kita sudah lama merdeka. Maka Islam yang terdapat dalam perlembagaan negara, perlulah ditafsir dengan istilah ad-Deen, bukan dengan erti religion mengikut ensiklopedia ciptaan Barat.”

PAS menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama memaknai semangat Malaysia Prihatin ini dengan mengukuhkan asas perpaduan, keharmoniaan serta kesejahteraan Malaysia dalam mencapai nilai kemerdekaan yang hakiki.

PAS meyakini bahawa Islam sahajalah yang dapat menyatukan dan memerdekakan seluruh umat manusia sebagaimana pembentukan Kerajaan Islam Madinah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
30 Ogos 2020 | 11 Muharram 1442 – HARAKAHDAILY 30/8/2020