Harapan tinggi rakyat Kelantan terhadap PN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Harapan besar rakyat Kelantan sekarang terletak kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan hak royalti petroleum yang dinafikan sebelum ini menjadi kenyataan.

Presiden Pertubuhan R Kelantan Nazri Deraman berkata, pemimpin dari Kelantan juga ramai berada dalam kabinet sekarang.

- Advertisement -

“Wakil dari Kelantan antara yang paling ramai dalam barisan kabinet kerajaan Persekutuan hari ini.

“Kehadiran mereka diharap dapat membantu perjuangan menuntut royalti petroleum sejak lebih 45 tahun lalu menjadi kenyataan selepas ia ditandatangani pada 9 Mei 1975.

“Perjanjian tersebut memperuntukkan bayaran 5 peratus royalti kepada kerajaan negeri berdasarkan hasil pengeluaran petroleum dari perairan dan luar perairan negeri tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, Kelantan pernah menerima wang ehsan berjumlah RM50 juta setahun yang dibayar melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Bagaimanapun ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) kerajaan membayar baki wang ehsan 2018 kepada kerajaan negeri.

Nazri berkata, pembayaran wang ehsan tersebut membuktikan Kelantan merupakan sebuah negeri pengeluar minyak di negara ini.

“Dan pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional berjaya memberi nafas baharu kepada perjuangan rakyat Kelantan apabila perkembangannya semakin positif,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -