Gangguan bekalan air: 4 syarikat hulur bantuan

Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan.

MACHANG : Empat syarikat air dari empat buah negeri membantu Kelantan mengatasi gangguan bekalan air berikutan paip pecah yang berlaku di Kampung Pulai Chondong di sini, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Utiliti, Sr. Dato’ Azami Mohd Nor berkata, kerja-kerja baik pulih kerosakan itu sedang giat dilakukan.

Advertisement

Agensi terlibat adalah Air Selangor (AIS); Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu); Syarikat Air Johor (SAJ); dan Lembaga Air Perak (LAP) agih air tangki statik.

“Di Machang sahaja memerlukan kira-kira 10 lori tangki air, jadi sekarang ini kita ada tujuh dan kita dapat bantuan dari Terengganu, Selangor, Perak dan Johor.

“Ada juga lori yang kita sewa khas, kemungkinan kita akan bawa ke sini lebih kurang tiga buah lori untuk mencukupi lebih 10 buah lori, kita harap akan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau dan melihat sendiri proses gerak kerja pembaikan paip pecah di Pulai Chondong, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd, Dato’ Dr. Wan Zawawi Wan Ismail dan Pengurus Besar AKSB, Dato’ Dr. Ir. Azuhan Mohamed.

Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadok menjangkakan kerja baik pulih kerosakan bakal siap dalam tempoh tiga atau empat hari lagi.

Kelewatan itu katanya berpunca daripada kedalaman tanah yang meningkat beberapa meter dari permukaan asal kerana pembinaan Jalan Kota Bharu – Gua Musang.

“Pada peringkat awal paip ini berada empat meter dibawah tanah, tetapi bila berlaku pembesaran jalan ini ia meningkat lebih dua meter.

“Benda ini terlalu dalam kira-kira enam meter dibawah tanah, hendak kesan kebocoran itu payah sikit sebab itu kita ambil masa yang panjang untuk baiki,” katanya.

Jelas beliau, lebih 100,000 isi rumah membabitkan 21,000 akaun pengguna AKSB di Kota Bharu Selatan dan Timur, Machang dan sebahagian Pasir Puteh terjejas.

Beliau turut meminta penduduk di kawasan terjejas supaya menggunakan air secara berhemah buat sementara waktu, guna untuk keperluan harian sahaja. – HARAKAHDAILY 30/8/2020