Elak semangat anti-Islam menular ke Malaysia

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah memandang serius perbuatan golongan anti-Islam di Malmo, Sweden yang dilapor membakar kitab suci al-Quran.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, perbuatan terkutuk itu dipercayai didalangi ahli politik berhaluan kanan Denmark Rasmus Paludan dari parti Hard Line.

- Advertisement -

Katanya, pihak keselamatan di Malaysia sewajarnya memantau perkembangan itu dengan mengambil tindakan segera mengelakkan insiden seperti di Sweden berjangkit ke negara ini.

Kata beliau, di Malaysia juga terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab cuba menyalakan api permusuhan antara kaum dengan menunjukkan sikap anti-Islam.

“Perbuatan seumpama itu sengaja ditular di media sosial sehingga boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

“Tindakan itu sekali gus merosakkan keharmonian yang dikecapi selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Jumaat lepas pemimpin Hard Line Rasmus Paludan dari Denmark yang dijadual mengunjungi Malmo Sweden ditahan polis negara berkenaan.

Pemimpin anti-Muslim terbabit dilarang menghadiri perhimpunan membakar al-Quran di Sweden.

Berikutan itu penyokong Paludan mengadakan tunjuk perasaan sehingga menyebabkan penahanan enam individu kerana dianggap menimbulkan kebencian kaum. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -