Anak muda hantar isyarat PRU15 dari Slim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anak muda yang menjadi calon BN, Mohd Zaidi Aziz berjaya memenangi PRK DUN N.58 Slim antaranya adalah hasil kerjasama seluruh Jentera Pemuda Perikatan Nasional, demikian kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin.

- Advertisement -

Menurut beliau, pencapaian kemenangan tersebut dengan majoriti lebih besar juga telah menghantar satu isyarat kepada semua pihak bahawa anak muda sedia mendukung Perikatan Nasional menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

“Pemuda Perikatan Nasional harus siap siaga di posisi masing-masing. Sebaik sahaja semboyan PRU15 dibunyikan, kita akan terus mara ke hadapan demi memastikan Malaysia yang kita cintai dapat kita pertahankan. Insya-Allah, Pemuda PAS sentiasa bersedia!” tegasnya.

Beliau mengulas kemenangan dengan majoriti 10, 945 undi diraih Mohd Zaidi setelah menerima 13,060 undi menewaskan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mendapat 2,115 undi dan Santhara Sekaran Subramaniam memperoleh 276 undi.

Katanya, keputusan PRK Slim sekali lagi menjadi saksi kukuhnya semangat Muafakat Nasional antara PAS dan Umno serta seluruh komponen Perikatan Nasional yang akhirnya menyaksikan kemenangan besar telah berpihak kepada Mohd Zaidi.

“Alhamdulillah. Tahniah dan terima kasih kepada penduduk DUN Slim kerana memberi kepercayaan kepada Saudara Mohd Zaidi Aziz. Anak tempatan yang diyakini amat memahami dan merasai denyut nadi penduduk di Slim.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha daripada seluruh jentera khususnya di peringkat Pemuda Perikatan Nasional yang turun menyantuni seluruh pengundi DUN Slim khususnya dalam kalangan anak muda.

“Saya juga ingin rakamkan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat jentera Pemuda PAS khususnya kepimpinan Pemuda PAS Perak serta Pemuda PAS Tanjung Malim yang telah banyak menjayakan siri program sepanjang tempoh berkempen,”

Sementara itu, Mohd Zaidi menyifatkan kemenangannya sebagai bukti permuafakatan antara parti yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional dari rangka kerja serta semangat bekerjasama antara parti ketika 14 hari tempoh berkempen itu.

“Hasilnya terbukti dengan kekuatan, kejituan, kerjasama dan semangat toleransi sehingga berjaya kekal menang dengan majoriti besar malam ini,” katanya selepas pengumuman keputusan di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, malam tadi. – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -