Tepati ramalan, rakyat teruja politik baharu MN

KUALA LUMPUR: Kemenangan pada PRK DUN N.58 Slim oleh calon BN, Mohd Zaidi Aziz secara umumnya menepati ramalan dan kecenderungan sokongan yang boleh dirasai daripada reaksi balas positif rata-rata penduduk di situ.

Advertisement

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau merasa bersyukur dengan keputusan tersebut dan telah menyaksikan sendiri keterujaan penduduk kepada politik baharu Muafakat Nasional khususnya.

Menurut Amzad, beliau sendiri turut mendapatkan reaksi akar umbi masyarakat di situ ketika berkempen di mana penduduk meyakini janji kestabilan, perpaduan dan khidmat lebih baik yang akan diberikan Muafakat Nasional.

“Prestasi Kerajaan Perikatan Nasional diperingkat Persekutuan yang dilihat sangat prihatin kepada rakyat dan mengenepikan isu remeh temeh politik dengan mengutamakan kebajikan rakyat ternyata memberi keyakinan baru kepada rakyat.

“Saya yakin kemenangan dengan majoriti di DUN Slim ini adalah isyarat jelas penerimaan rakyat terhadap Muafakat Nasional dan penolakan total terhadap Pakatan Harapan.

“Ia juga adalah tanda aras baru penggemblengan jentera pilihan raya semua parti politik dalam Muafakat Nasional. Pemimpin PAS dan jentera PAS telah sepenuh hati bekerja membantu kemenangan calon dari Umno.

“Saya sendiri turut berceramah, ziarah dari rumah ke rumah di Slim membantu Saudara Zaidi,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi gembira ketika diminta mengulas keputusan diumumkan malam ini. – HARAKAHDAILY 29/8/2020