Penanam durian mohon semakan kehakiman

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Oktober depan untuk mendengar permohonan 111 penanam durian Musang King di Raub bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap arahan dan keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mengosongkan kebun mereka.

Advertisement

Peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua penaman durian di sekitar Sungai Ruan, Tras dan Sungai Chalit itu memaklumkan demikian kepada pemberita, selepas selesai prosiding di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz, semalam.

Menurut Siew, permohonan yang difailkan pada Jumaat lalu, sepatutnya didengar hari ini, namun Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak yang mewakili responden yang dinamakan dalam permohonan itu meminta lanjutan masa bagi meneliti semua afidavit yang disertakan.

“Kami tiada bantahan kerana, mereka sememangnya memerlukan lebih masa untuk membacanya, tetapi dalam masa sama, kami juga memohon diberikan perintah penggantungan terhadap keputusan pihak terlibat berhubung pengusiran penanam durian itu sehingga keputusan permohonan hari ini diberikan.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan kami sehingga tarikh pendengaran permohonan (28 Okt) yang bermaksud penanam durian boleh masuk dan menjalankan kerja harian di tanah yang menjadi subject matter (isu utama) dalam hal ini, sehingga tarikh yang telah diberikan,” katanya.
 
Siew berkata pihaknya akan segera menghantar perintah penggantungan itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana mendakwa terdapat penanam terlibat bimbang untuk ke kebun kerana tempoh yang diberikan untuk mereka mengosongkan tanah sudah berakhir.

Beliau juga mendakwa semua anak guamnya masih bersedia untuk berunding bagi mencari jalan penyelesaian dalam isu itu kerana telah lama mengusahakan kebun berkenaan, selain nenek moyang mereka juga berasal dari kawasan itu.

“Anak guam saya tidak terlibat dalam insiden memusnahkan pokok durian yang tular di media sosial yang dikatakan sebagai bantahan kepada arahan yang diterima, sebaliknya mereka bersedia mengikut prosedur yang betul iaitu melalui perundangan dan perbincangan,” kata Siew.

Semua 111 penanam durian itu memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. 

Selain arahan penggosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. 

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – BERNAMA