TAWAU: PASTI Nurul Hanani, Jalan Kuhara yang ditimpah musibah kebakaran dalam tragedi 26 Ogos baru-baru ini telah menerima sumbangan RM20,000 daripada Tabung Musa’adah kelolaan JAKIM, pada satu penyerahan, di sini petang semalam.
Simbolik penyerahan dana itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary kepada Yang DiPertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain untuk pengurusan PASTI Tawau.
Ustaz Ahmad Marzuk berkata, pemberian dana tersebut adalah sebagai bantuan awal kepada PASTI berkenaan yang tentunya memerlukan wang segera untuk operasi pembelajaran dan pengajaran kembali berlangsung.
“Sebagai tanda prihatin kerajaan pada hari ini kita dahulukan sumbangan kepada PASTI daripada Tabung Musa’adah yang dikelolakan oleh JAKIM.
“Ia untuk mereka memulakan pembinaan bangunan baru dan memulakan pembelajaran. Kita mengalu-alukan masyarakat dan golongan korporat untuk menyumbang dan membantu dalam membina semula bangunan sekolah yang terbakar.
“Saya difahamkan pihak pengurusan PASTI dalam perancangan untuk membina sekolah di tanah mereka sendiri yang berkeluasan suku ekar di belakang tapak sekolah yang terbakar itu” katanya kepada wartawan ketika di temui tapak kebakaran.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah JAKIM Negeri Sabah, Ustaz Norjeli Dais dan Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah dan Pengarah PASTI Sabah, Karim Dollah. – HARAKAHDAILY 29/8/2020

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!