Wong Kah Woh dilantik Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh dipilih bagi menggantikan Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengusulkan pemilihan itu di Dewan Rakyat hari ini berkata Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun pula sebagai Naib Pengerusi menggantikan Wong yang sebelum ini memegang jawatan itu.

Usul itu kemudian diterima sebulat suara oleh ahli dewan setelah menarik perhatian beberapa Ahli Parlimen yang bangun untuk memberi pandangan serta cadangan mengenai penambahbaikan untuk memantapkan PAC.

Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) mencadangkan supaya prosiding PAC dibuat secara terbuka seperti siaran langsung supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam prosiding itu.
 
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula menggesa agar anggota PAC mengesan dengan lebih teliti ketirisan yang berlaku dalam kementerian dan agensi kerajaan.

“Ada banyak lagi sebenarnya ketirisan dan pembaziran yang ditinggalkan terutamanya apabila berlaku pertukaran pegawai kerajaan dalam kementerian atau agensi tersebut.

‚ÄúPengesanan oleh PAC belum sampai ke tahap boleh menyelamat duit kerajaan atau rakyat akan pembaziran dan ketirisan yang berlaku,” kata Ahli Parlimen BN itu semalam.

Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata PAC perlu diperkasakan dan diberi kuasa autonomi yang bukan hanya boleh memberi teguran tetapi juga kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kementerian atau agensi yang tergelincir daripada landasan sepatutnya.

Takiyuddin ketika menggulung usul itu berkata semua pandangan dan nasihat akan diambil perhatian oleh pucuk pimpinan baharu sebagai panduan dalam menjalankan tugas. – BERNAMA