TEMCO dilaksana di Aman Jaya mulai hari ini

ALOR SETAR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Aman Jaya, Sungai Petani dikuatkuasa bermula hari ini sehingga suatu tempoh yang dimaklumkan kelak.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, pelaksanaan itu diadakan sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19 yang semakin aktif di kawasan terbabit.

Advertisement

Katanya, cadangan itu sudah disyorkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandang kes di beberapa tempat di Kedah dilihat menunjukkan peningkatan positif,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Berikutan itu kata beliau seramai 22,000 penduduk kawasan terbabit perlu menjalani saringan untuk mengesan kontak rapat.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat perlu memberi kerjasama apabila petugas Jabatan Kesihatan datang ke rumah.

Selain itu aktiviti keluar masuk ke kawasan berkenaan tidak dibenarkan, manakala majikan dinasihat mengarahkan pekerjanya yang terlibat membuat kerja dari rumah.

“Tindakan seumpama itu diharap dapat mengawal penularan Covid-19 serta memutuskan rantaiannya sepertimana yang berlaku di Kubang Pasu.

“Di Kubang Pasu TEMCO yang diadakan bermula pada 3 hingga 30 Ogos di empat mukim menunjukkan kejayaan apabila tiada kes positif dikesan sejak 9 Ogos lepas,” ujar beliau.

Sehubungan itu katanya, semua restoran dan kedai makan di Aman Jaya hanya dibenarkan beroperasi secara take-away dan pasar malam serta perniagaan bukan perkhidmatan diarah tutup.

Manakala perkhidmatan keperluan seperti kedai runcit, kedai serbaneka, kedai menjual barangan asas dan rawatan dibenarkan beroperasi.

“Pasar harian dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang, stesen minyak dari jam 8 pagi hingga 8 malam sementara farmasi, klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Manakala masjid, surau, rumah ibadat, IPT, sekolah, taska, pusat jagaan kanak-kanak di kawasan terlibat diarahkan tutup,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2020