Rakyat selesa dengan PN – Nuridah

Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tahap kepuasan rakyat terhadap pemerintahan Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan perbezaan yang dapat dirasai oleh golongan rakyat terhadap keprihatinan dan kebajikan yang telah diberikan kepada rakyat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, ketika berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) masyarakat Melayu Islam khususnya berasa gelisah tentang agama dan kedudukan umat Islam.

- Advertisement -

Ini kerana katanya pelbagai isu yang melibatkan agama serta perkauman sering kali timbul dan dipermainkan demi kepentingan politik.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung dapatan yang dibuat oleh badan penyelidik QGenAnalysts (QGA) bertajuk ‘Analisis Persepsi Kepimpinan Semasa Di Malaysia’ yang menunjukkan tahap kepuasan rakyat terhadap pemerintahan Perikatan Nasional.

Berdasarkan dapatan itu, sebanyak 53.94 peratus rakyat memilih Perikatan Nasional sebagai gabungan yang diyakini.

Diikuti Muafakat Nasional (MN) yang berada di kedudukan kedua dengan 19.21 peratus, manakala Pakatan Harapan cuma memperoleh 9.03 peratus sokongan walaupun pernah memerintah 22 bulan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ustazah Nuridah berkata kini jelas bahawa rakyat dapat melihat dan merasai kedudukan Islam begitu terjamin di bawah PN.

Manakala katanya, kedudukan raja-raja Melayu telah diberikan hak dan berfungsi mengikut perlembagaan undang-undang.

Selain itu juga katanya, kejayaan dalam mengekang dan menangani wabak Covid-19 juga dapat mengembirakan hati rakyat, di samping itu Bahasa Melaju dan tulisan Jawi telah diberi keutamaan

Bagaimanapun tambah beliau, kepimpinan di bawah Perikatan Nasional tidak menabur janji sebaliknya rakyat dapat merasai kehadiran pimpinan ini adalah untuk membela kehidupan rakyat di negara ini. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -