PRU segera perlu, tetapi PN kerajaan sah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak menolak keperluan untuk PRU15 segera diadakan memandangkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti sedikit, namun menegaskan PN adalah kerajaan yang sah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Marang ini sebaliknya tegas menolak dakwaan bahawa PN adalah ‘kerajaan pintu belakang’ dan perlu segera mengadakan PRU untuk mendapat mandat baharu untuk menghapuskan persepsi yang diperkatakan itu.

“Tak timbul pintu belakang, sebab kerajaan itu mengikut proses demokrasi yang betul. Itu nak tolak fitnah sajalah. Pandangan saya, pilihan raya ini terpulang kepada Perdana Menteri untuk bincang bila perlu dapat mandat.

“Kerajaan (PN) itu kerajaan yang sah kerana mengikut proses demokrasi melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih, PRU yang ke-14, kemudian melalui perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agung, mengikut proses Perlembagaan.

“Jadi, yang dibuat semua itu bukan pintu belakang. Saya rasa pintu belakang itu (Kerajaan WARISAN) Sabah, Sabah pintu belakang itu. Sabah itu, tidakkah yang menang dahulunya tak silap saya Barisan Nasional di Sabah itu. Kemudian berlaku beli-beli wakil rakyat.

“Dia beli wakil rakyat, kemudian jatuh kerajaan, buat kerajaan. Yang itu munasabah pintu belakang. Di sini tidak, di sini tak timbul beli-beli, tak timbul,” ujarnya pada sidang media selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, pagi tadi.

Akui beliau negara memerlukan kerajaan yang kukuh dengan dapat dukungan wakil rakyat dalam satu jumlah ramai di mana walaupun PN mendapat dukungan jentera-jentera kerajaan, tetapi kekuatan di Parlimen sangat penting.

PRU dan mandat baharu juga ujarnya, secara langsung adalah sebagai satu demokrasi iaitu memulangkan semula pilihan kepada rakyat, setelah perubahan yang dibuat baru-baru ini secara tak langsung melalui wakil-wakil dipilih oleh rakyat.

Beliau juga memaklumkan PRU untuk diadakan itu belum dipastikan sama ada hanya Parlimen atau negeri sahaja atau kedua-duanya di mana pengagihan kerusi ada masih dalam perbincangan dan beliau belum boleh memberitahunya lagi ketika ini.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu juga membayangkan kemungkinan PRU pada tahun ini atau tahun hadapan dan berkeyakinan menang berdasarkan rekod dilalui dalam beberapa PRK mutakhir ini.

“Dan undi makin meningkat, kerjasama yang baik. Sehingga PH tak berani letak calon terbuka, letak calon bebas,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan MIC yang mengumumkan keluar daripada PN, ujar Tuan Guru, perkara tersebut adalah hak masing-masing parti di mana MIC merupakan komponen BN, sedang parti lain juga tidak terikat dengan BN.

“Tak ada apa, tak ada apa. Saya rasa tak ada apa-apa. PN ini gabungan semua-semua sekali. Bagi Semenanjung, MN. Jadi, mungkin MIC dia terus dalam BN, dan Umno dengan gabungan dia, duduk dalam MN.

“Kita PAS ini, ialah Gagasan Sejahtera. Sama kita Parti Cinta Malaysia, dan lain-lain lagi, kita juga MN. BERSATU juga ada cabang bukan-Islam, duduk dalam MN. Sarawak tak ikut MN, Sabah juga tersendiri, autonomi. Jadi, PN ini kepada semua sekali. Begitu. Tak  jadi masalah,” jawabnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -