Pemuda sedia kemudi politik baharu Malaysia

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin menegaskan bahawa Pemuda bersedia melonjakkan naratif politik ke arah lebih segar dan baharu untuk tanah air Malaysia.

- Advertisement -

Katanya, peralihan kerajaan dari Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional sehingga menatijahkan kepada penambahan rakan koalisi dari BERSATU ke dalam Muafakat Nasional adalah satu langkah politik untuk kesejahteraan rakyat.

“14 September 2020 kita akan menyambut ulang tahun Muafakat Nasional dan alhamdulillah kali ini bukan sahaja melibatkan PAS dan Umno sahaja, kita ada rakan baru iaitu BERSATU yang pasti akan mengukuhkan lagi kekuatan penyatuan ummah.

“Bagi saya, jika beginilah kekuatan dan sifat jiwa besar yang ditunjukkan pimpinan parti-parti politik untuk turut sama berganding bahu atas konsep taawun, Inshaa Allah kita akan menyambung kontrak menerajui kerajaan persekutuan selepas ini,” ujarnya.

Beliau bercakap di Townhall Anak Muda yang mendapat sambutan hangat dari kalangan anak muda walaupun dalam suasana santai dan bersahaja menampilkan kepimpinan utama Pemuda PAS, Umno, Armada dan IKATAN di Slim River, di sini.

“Ini adalah pentas pertama saya selepas secara rasminya menang sebagai Ketua Armada. Dan ini juga satu penghormatan untuk sama-sama duduk bersama para pemuda Muafakat Nasional,” ujar Ketua Armada BERSATU, Senator Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal.

Manakala Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata persahabatan dan hubungan sesama Pemuda dalam Muafakat Nasional telah mengukuhkan jaringan kekuatan anak muda dalam mendepani bahaya yang ada pada Pakatan Harapan.

Pentas Townhall anak muda anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Perak ini adalah kesinambungan dari siri-siri jelajah peringkat Dewan Pemuda PAS Malaysia yang mengfokuskan perbincangan ke arah penyelesaian dan solusi semasa. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -