Mukhriz akui anak, menantu ditahan langgar PKPP

TANJUNG MALIM: Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, hari ini mengesahkan anak perempuannya serta menantu merupakan antara 29 pengunjung sebuah pub dekat ibu negara, yang ditahan polis pagi Ahad lepas.

Mukhriz berkata, anak perempuannya itu bersama suami ditahan, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan telah pun dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang. 

“Benar, anak dan menantu saya, dibawa ke balai pada awal pagi bersama 27 yang lain, atas kesalahan langgar arahan PKPP,” katanya kepada pemberita selepas program Sepetang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di FELDA Besout 3 dekat sini.

Advertisement

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan kira-kira 1:20 pagi pada Ahad, pihaknya menahan 29 individu termasuk anak perempuan seorang VIP di sebuah pub, kerana berada di premis tersebut melebihi had masa dibenarkan di bawah PKPP. 

Ahli Parlimen Jerlun itu memuji pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menguatkuasakan undang-undang secara adil serta saksama, berikutan tiada sebarang pengurangan kompaun ditawarkan kepada anak dan menantunya.
 
“Memang patut kena kompaun. Ikut undang-undang kena bayar tak bagi diskaun dan PDRM kuat kuasakan undang-undang tanpa pilih kasih, itu paling penting,” katanya sambil mengakui kecewa kerana telah memberi nasihat kepada ahli keluarga agar mematuhi PKPP.

Ditanya jika kes tersebut memberi kesan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mukhriz yang juga antara pengasas PEJUANG berkata: “Tiada kesan, kerana kedua-dua perkara itu tiada kena mengena”.

PRK DUN Slim pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas iaitu, bekas guru S. Santhasekaran dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi. – BERNAMA