Memayungi ekonomi jalanan

- Advertisement -

EKONOMI Jalanan (street economy, stall economy) merujuk kepada aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dijalankan di tepian jalan, warung dan premis sementara, kebiasaannya berjajaran atau berkelompok di tempat awam dan kawasan kejiranan.

- Advertisement -

Secara umumnya, Ekonomi Jalanan melibatkan segala aktiviti ekonomi, sosial, budaya dan kesenian, sama ada berdaftar ataupun tidak berdaftar. Selain itu, ianya boleh terbahagi kepada aktiviti yang sah di sisi undang-undang serta aktiviti yang bersalahan di sisi undang-undang.

Segmen ini juga sering dikaitkan dengan ketirisan pendapatan dan kelemahan penguatkuasaan, namun secara relatifnya Ekonomi Jalanan merupakan ‘jalan pintas’ kepada golongan miskin (B40), kumpulan rentan dan penganggur untuk mendapatkan upah harian dan berniaga secara kecil-kecilan.

Menurut Laporan Survei Guna Tenaga Sektor Informal Malaysia 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga dalam sektor informal bagi kategori bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji menunjukkan trend meningkat pada 2019 (1.2 juta orang) berbanding 2017.

Manakala pada Mac 2020, jumlah penduduk bekerja adalah 15.2 juta orang. Daripada angka tersebut, sebanyak 2.8 juta orang (18 peratus) adalah bekerja sendiri seperti peniaga kecil-kecilan di pasar tani, pasar malam, ‘catering’, ‘freelancer’ dan seumpamanya.

Sepanjang tempoh PKP dan COVID-19, golongan peniaga dan pekerja yang terlibat di sektor Ekonomi Jalanan paling terdedah kepada risiko kewangan, seperti kehilangan punca pendapatan, diberhentikan kerja, ketiadaan upah harian, hutang yang tertunggak, serta kesempitan tunai yang membebankan.

Ini kerana Ekonomi Jalanan adalah sangat rapuh, bergantung kepada modal yang sedikit, hasil jualan yang rendah, dan berdepan kenaikan kos, selain terdedah kepada faktor persekitaran, penguatkuasaan dan cuaca di luar kawalan.

Ekosistem Ekonomi Jalanan

Saya tertarik dengan pandangan Dr Nungsari Radhi di dalam artikel bertajuk ‘Pasar Malam and Five-Year Plans’, yang menyatakan:

“In my view, this supply of genuine entrepreneurship will come from these small, even micro, businesses, pasar malam traders included. This is a group that lives the independent life and understands what it means to strive to make a living. It is sometimes not pretty, and life can be exacting and tough for them and their families, but I would bet on them to drive the next generation of businesses”.

Sekiranya kita menelusuri ekosistem Ekonomi Jalanan, sedarlah kita akan kepayahan yang dihadapi segmen ini, serta potensi besar yang tersingkap di sebaliknya.

Kesan sosio-ekonomi daripada segmen ini adalah positif jika diuruskan dengan baik. Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada segmen bawahan (B40) dan menyerap pekerja yang terjejas semasa krisis, Ekonomi Jalanan juga adalah ‘inkubator’ kepada peniaga kecil untuk mempelajari selok-belok dunia keusahawanan, di samping peluang untuk golongan miskin meningkatkan taraf hidup melalui bantuan modal dan bimbingan yang berterusan.

Malah Ekonomi Jalanan bukan sekadar memberikan manfaat kepada individu dan keluarga yang terlibat, tetapi turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi bandar dan pinggir bandar melalui penjualan barangan dan makanan pada harga yang berpatutan, serta kitaran penjualan di pihak pemborong dan peruncit tempatan.

Justeru potensi besar Ekonomi Jalanan perlu diintegrasikan ke dalam struktur ekonomi moden dan perancangan bandar secara lebih tersusun, melalui penyediaan tapak, bimbingan perniagaan dan kawal selia yang bersifat memperkasa (empowerment) di pihak kerajaan, di samping bantuan oleh pihak Baitulmal, NGO dan persatuan peniaga secara berterusan.

Dengan integrasi perancangan, pengawalan dan bimbingan, segmen ekonomi yang sangat dinamik ini mampu menghasilkan impak sosio-ekonomi yang sangat positif terhadap usaha meningkatkan daya usahawan, peluang pekerjaan dan perbelanjaan dalam kalangan rakyat tempatan.

Segalanya bermula dengan modal yang sedikit, tapak berniaga yang kecil, serta payung untuk berteduh dan berlindung.

Ekonomi Jalanan. Ekonomi Merdeka

SYAHIR SULAIMAN – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -