Keprihatinan PERKESO disanjung tinggi – Idris

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: PERKESO Cawangan Taiping telah menyalurkan bantuan kepada waris seorang nelayan, Allahyarham Mohd Sofian Zainudin, 38, yang ditemui lemas ketika menangkap ikan di Sungai Deraka, Kuala Sepetang pada 23 Ogos lalu.

- Advertisement -

Selain itu, balu Allahyarham juga akan menerima pencen bulanan seumur hidupnya, manakala anak-anaknya pula akan menerima sumbangan bulanan sehingga mencapai umur 21 tahun.

Sumbangan Faedah Pengurusan Mayat bernilai RM2,000 itu disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Idris Ahmad kepada balu Allahyarham, Asimah Mat Tarmizi di rumah mereka di Kampung Air Putih, Kamunting, di sini semalam.

Turut hadir, Pengurus PERKESO Cawangan Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kampung (JSPK), Ramli Harun.

Sementara itu, Idris mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan PERKESO dalam membela nasib pekerja dan keluarga mereka walaupun mereka tidak lagi mencarum bersama pertubuhan ini.

“Saya puji sikap pantas Skuad PERKESO Prihatin (SPP) Taiping di mana mereka aktif mencari maklumat mengenai sesuatu kemalangan atau kematian yang disiarkan di akhbar atau media sosial dengan menghubungi wakil rakyat, Penghulu Mukim, Pusat Khidmat Kawasan dan pemimpin masyarakat. 

“Skuad ini akan menyemak mangsa kemalangan atau kematian sama ada mereka seorang pencarum atau pernah mencarum di dalam PERKESO. Usaha murni ini bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan,” ujar beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya, ramai pencarum yang tidak mengetahui mengenai skim dan insentif yang ditawarkan oleh PERKESO dan berharap agensi ini dapat meluaskan sebaran maklumat di media sosial dan menganjurkan majlis-majlis penerangan.

Sementara itu, Azimah, 35, melahirkan rasa syukur di atas sumbangan yang diterimanya dan berharap ia sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggungnya waktu ini.

Ibu kepada lima anak berusia 3 hingga 14 tahun ini menumpang teduh di sebuah rumah lama yang agak daif sejak tiga bulan lalu dan berharap sumbangan bulanan daripada PERKESO dapat membantu kesinambungan hidupnya sekeluarga. – HARAKAHDAILY 28/8/2020

- Advertisement -