Kajian: Perikatan Nasional gabungan paling dipercayai

KUALA LUMPUR: Satu kajian oleh badan penyelidik QGenAnalysts (QGA) bertajuk ‘Analisis Persepsi Kepimpinan Semasa Di Malaysia’, telah memperolehi dapatan bahawa 53.94 peratus rakyat memilih Perikatan Nasional sebagai gabungan yang diyakini.

Advertisement

Ini diikuti oleh Muafakat Nasional (MN) yang berada di kedudukan kedua dengan 19.21 peratus, namun 17.82 peratus pula memilih tidak pasti, tetapi Pakatan Harapan (PH) cuma mempunyai 9.03 peratus sokongan walaupun pernah memerintah 22 bulan sebelum ini.

Kajian ini mendapati, 81.76 peratus berpuas hati terhadap pemerintahan Perikatan Nasional dengan 86.4 peratus juga mahu gabungan ini kekal hingga tamat penggal di mana dipengaruhi oleh aspek kebajikan, ekonomi dan tadbir urus.

Manakala 18.24 peratus tidak berpuas hati kepada Kerajaan Perikatan Nasional adalah disebabkan faktor lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan segolongan pemimpin tidak berintegriti serta melihat ia sebagai gabungan yang rapuh.

Responden meletakkan rasa berpuas hati terhadap Kerajaan Perikatan Nasional berdasarkan tiga faktor iaitu mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, mengutamakan pemulihan ekonomi negara dan mengamalkan tadbir urus yang lebih baik.

Kajian juga memperolehi dapatan bahawa 62.28 peratus bersetuju untuk Muafakat Nasional mentadbir Malaysia, sedang Pakatan Harapan hanya mendapat 28.99 peratus dengan sepuluh faktor tertinggi mempengaruhi pilihan dan penolakan responden.

MN diterima kerana memperkukuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera; mempertahan keluhuran Perlembagaan Persekutuan; mengamalkan tadbir urus yang lebih baik, tetapi ditolak sebab segolongan pemimpin tidak berintegriti; membangkitkan sentimen perkauman dan hala tuju tidak jelas.

Manakala PH diterima kerana menyelesaikan isu korupsi negara; memperjuangkan kepentingan masyarakat majmuk; mengutamakan pemulihan ekonomi negara, tetapi ditolak sebab gagal menunaikan manifesto; mengganggu kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera serta membangkitkan sentimen perkauman.

Manakala ciri-ciri pemimpin yang menjadi pilihan responden secara susunan mengutamakan integriti, berwibawa, mesra rakyat, berpengalaman luas, beragama, ahli teknokrat, anak tempatan, sama bangsa, muda dan berketrampilan.

Kajian dijalankan di Selangor melibatkan sekitar 500 responden kawasan bandar majoriti Melayu pada 19 Jun hingga 3 Ogos yakni selama 46 hari ini melibatkan 54 peratus lelaki dan 46 perempuan secara pecahan kaum Melayu (86%), Cina (5%), India (8%) dan lain-lain (1%).

Pecahan umur adalah 20-24 tahun (16%), 25-29 tahun (26%), 31-35 tahun (21%), 36-40 tahun (11%) dan 41-50 tahun (14%), selain berkerjaya sebagai pekerja swasta (35%), sendiri (21%) dan kerajaan (19%), pelajar (11%), suri rumah (7%) dan tidak bekerja (7%). – HARAKAHDAILY 28/8/2020