UniSHAMS: LZNK, YINK sedia pinjaman, biasiswa

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) kini berpeluang memohon biasiswa dan pinjaman Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK).

Naib Canselor UniSHAMS, Prof Dr Shamsul Jamili Yeob berkata ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UniSHAMS dan dua institusi itu hari ini.

“LZNK akan menawarkan biasiswa bagi pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda sepenuh masa, Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS).

- Advertisement -

“Peluang ini terbuka kepada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan tertakluk kepada kuota dan kelulusan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh LZNK,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Katanya YINK pula menawarkan pinjaman pendidikan mencecah RM4 juta bagi pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan MBBS sepenuh masa.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola UniSHAMS. 

UniSHAMS merupakan institusi pendidikan tinggi Islam milik penuh kerajaan negeri Kedah. – BERNAMA

- Advertisement -