Kenapa projek di Sandakan tiada dalam senarai 101?

- Advertisement -

PENDEDAHAN Dr Kamarul Zaman Yusoff, Lim Guan Eng telah meluluskan lima projek sekali gus untuk Sandakan sekali lagi mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Lebih mengejutkan seperti yang didakwa oleh Dr Kamarul, ada antara projek-projek tersebut diluluskan secara runding terus.

Dengan merujuk kepada dokumen yang dikepilkan dalam Facebook (FB) beliau, jumlah kelima-lima projek tersebut adalah lebih RM10 juta. Sekiranya benar apa yang telah didedahkan, terbukti bekas Menteri Kewangan sekali lagi telah membohongi rakyat menyatakan tiada lagi runding terus di zaman PH.

Selain daripada itu, rakyat turut mempersoalkan mengapa begitu mudah lima projek itu diluluskan oleh Lim Guan Eng. Adakah tindakan mempermudahkan urusan kelulusan projek tersebut berkaitan dengan janji-janji dalam Pilihan Raya Kecil Sandakan sebelum ini.

- Advertisement -

Berdasarkan senarai 101 projek runding terus yang didedahkan oleh Menteri Kewangan semalam, projek-projek di Sandakan ini tiada dalam senarai. Sekali lagi persoalan baru timbul, mungkinkah ada banyak lagi projek runding terus di zaman Pakatan Harapan (PH) yang disembunyikan dari pengetahuan Dato Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz?

Dengan kebarangkalian masih ada projek-projek runding terus yang disembunyikan pegawai-pegawai pro PH, saya meminta Menteri Kewangan meneruskan usaha murni mengorek dan kemudian mendedahkan projek-projek tersebut untuk diketahui oleh rakyat.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -