Hanya 300 perwakilan hadiri muktamar

- Advertisement -

KOTA BHARU : Muktamar Tahunan PAS Pusat pada 13 September depan diadakan dalam suasana ringkas kerana negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya difahamkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan walaupun berakhir pada 31 Ogos ini.

- Advertisement -

“Kemungkinan besar PKP ini akan disambung berdasarkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, jadi muktamar tersebut perlu diadakan secara ringkas.

“PKP perlu patuhi dan kehendak perlembagaan pun kita kena ikut juga, jadi ambil jalan tengah iaitu kehadiran perwakilan kurang dari kebiasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kelantan di Hotel Perdana di sini hari ini.

Turut hadir anggota Exco Ustaz Wan Roslan Wan Hamat; Adun Chetok Zuraidin Abdullah; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Laila Nazura Nawi dan YDP Majlis Belia Negeri Kelantan, Hafizul Nizam Abdullah.

Mohd Amar berkata, jika dihitung perwakilan yang hadir sebelum ini mencecah seramai 1,200 orang seluruh negara, namun berbeza bagi tahun ini.

Menurutnya, pihak penganjur mengurangkan kehadiran perwakilan sehingga 300 orang kerana perwakilan negeri dibenarkan hanya seorang iaitu Yang Dipertua kawasan.

“Berbeza Kelantan, kita berikan kebenaran sehingga empat perwakilan boleh hadir iaitu 56 orang dan Muktamar ini diadakan sehari sahaja pagi sampai petang.

“Bagi negeri lain muktamar ini turut disiarkan secara atas talian untuk diikuti perwakilan di negeri masing-masing yang ditetapkan lokasinya,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor berkata, gerai jualan sama sekali tidak dibenarkan kerana patuh kepada peraturan ditetapkan kerajaan.

Katanya muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) itu juga tidak menjemput pemerhati, namun tetamu diuruskan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 27/8/2020

- Advertisement -