Anak muda diseru perkukuh perpaduan

TANJUNG MALIM: Islam amat mementingkan perpaduan kaum dan perpaduan nasional dengan menekankan umatnya agar menjaga keharmonian dan saling kenal-mengenal antara satu sama lain, kata Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait. 

Advertisement

“Nabi berhijrah daripada Makkah ke Madinah kemudian pulang semula ke Makkah, bila mana bertemu dengan bukan Islam, Nabi menyebut, maka maafkanlah mereka. Walaupun sebelum itu mereka melawan Nabi, tetapi Nabi tidak menghukum mereka. Inilah keindahan Islam kepada perpaduan kaum,” kongsinya.

Berucap mewakili anak muda PAS, beliau menyeru seluruh bangsa antaranya Melayu, India dan juga Cina agar bersatu padu, saling berkenal dan mengelakkan persengketaan bagi memajukan negeri Perak dan negara Malaysia pada hari ini.

Ulasnya lanjut, kesepakatan itu telah diterjemahkan PAS di dalam PRK N.58 Slim di mana seluruh jenteranya turut hadir membantu gerak kerja pilihanraya meskipun sebelum ini PAS dan Umno pernah bersengketa dalam tempoh masa yang amat panjang.

“Islam tidak suka kepada pergaduhan, pertelingkahan, maka kami membawa mesej keamanan dan kesatuan. Semoga pertemuan hari ini akan menerbitkan rasa kebersamaan kita walaupun kita berbeza bahasa, bangsa dan agama,” ulasnya.

Beliau berkata sedemikian di hadapan seluruh orang ramai yang hadir di Taman Seroja Slim River bersempena majlis minum petang bersama Dewan Himpunan Pendukung PAS Perak (DHPP) di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 27/8/2020