Razman ziarah pelajar PASTI maut kemalangan

- Advertisement -

BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarhamah Auni Marissa Norman, pelajar PASTI Al Jannah di Kampung Haji Taib, di sini petang semalam.

- Advertisement -

Sumbangan berupa wang ringgit telah diserahkan Razman diiringi Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid ketika menziarahi keluarga mangsa di Hospital Parit Buntar.

Berdasarkan maklumat dikongsi keluarga mangsa, pada ketika itu pelajar PASTI yang berumur enam tahun itu sedang menaiki motosikal bersama keluarganya dalam perjalanan menghala ke Jalan Ipoh-Butterworth.

Namun begitu, mereka telah terbabit dalam sebuah kemalangan yang menyebabkan Allahyarhamah Auni yang duduk di raga hadapan cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, Razman diiringi Pegawai Pusat Khidmat ADUN Semanggol, Ahmad Rosman Razali telah hadir membuat tinjauan ke lokasi kemalangan maut pelajar PASTI tersebut.

Menurut sumber yang dilaporkan oleh penduduk kampung, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu melibatkan motosikal dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori di Jalan Mini Tar, Kampung Parit Haji Taib 2.

Difahamkan kejadian berlaku berpunca daripada asap tebal akibat pembakaran jerami secara terbuka di sekitar kawasan itu yang menyebabkan pemandu lori terpaksa berhenti di bahu jalan.

Selain sumbangan diberikan, Razman yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Neger Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah dan berharap seluruh pihak dapat menerima ketentuan Allah ini dengan redha. – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -