Rakyat ‘makan hati’, Ahli Parlimen ‘hilang’

- Advertisement -

KEDENGARAN malam itu dentuman guruh silih berganti. Hati mula berkata-kata, “barangkali ada pula rumah yang akan dinaiki air ini.” 

Langit hitam kelabu sudah tidak mampu mengandung hujan lantas sepantas kilat menggugurkan kandungan ke bumi. Satu mesej penting menggunakan aplikasi WhatsApp masuk ke ruang telefon bimbit.

“Tolong jangan tutup handphone!”.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Cikgu Khairuddin Abdullah mendahului langkah memberi arahan supaya semua team bersiap-siaga. Saya tuntas membalas, “sedia berkhidmat!”. 

- Advertisement -

Begitu gambaran debaran rasa dilalui Penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Mad Esa tatkala melalui pengalaman banjir kilat di Ketari Garden yang dikongsi di laman muka buku PAS DUN Ketari, empat bulan lalu.

Fenomena banjir di Bentong khususnya di sekitar kawasan Kampung Gementi, Ketari Garden, Kampung Benus dan Kampung Chegar Medang kini telah meninggalkan kesan ‘trauma’ berpanjangan bagi penduduk mangsa banjir tiap kali hujan lebat tiba.

Pada tahun ini sahaja, pernah berlaku di bulan yang sama dan di lokasi yang lebih kurang sama, air bah menyerang hendap penduduk setempat sebanyak tiga kali berturut-turut.

Kejadian ini berlaku akibat laluan sempit di Sungai Gementi yang mengalir di hadapan Masjid Ketari ditambah dengan kedudukan batang-batang paip air yang terletak di bawah jambatan merentangi sungai menyukarkan lagi pergerakan air sungai.

Roslan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bentong menjelaskan, inilah antara punca sebenar banjir kilat kerap menyerang penduduk sekelip mata tanpa amaran jika hujan turun terlalu lebat dalam tempoh singkat.

“Jika hujan biasa-biasa, tetapi kerap dalam tempoh lama ia akan jadi banjir lumpur pula. Setiap kali berlaku banjir, penduduk akan menelefon kami meluah perasaan, merayu dan menangis minta pertolongan apa-apa yang boleh kami bantu,” jelas beliau dalam sesi temu bual merungkai satu persatu kemelut yang sekian lama menyelubungi penduduk ‘Bandar Paling Bahagia’ ini.

Penduduk nyata sudah jelak dan kecewa dengan ‘kehilangan’ wakil rakyat Parlimen Bentong. Hampir tiga tahun berkuasa untuk selesaikan masalah banjir di Ketari ini tetapi penantian rakyat ‘bagai menghitung bulu kambing’ ternyata semuanya sia-sia.

“Kuasa dah ada di tangan, mengapa tak guna? Mana suara wakil rakyat Parlimen Bentong membawa isu penduduk di kawasan yang dia wakili? Mengapa dia membisu buat tak tahu?” ujar Roslan kecewa.

Ketika rakan ‘serumah’ sibuk mengorek dan menghentam salah silap ahli di dalam ‘rumah orang’, ahli dalam rumah sendiri buat onar masing-masing tutup mata buat-buat tak nampak.

Atas rasa keprihatinan dan kepedulian terhadap nasib rakyat yang terkontang-kanting tanpa sebarang pembelaan, PAS Bentong diwakili Roslan telah mengambil tanggungjawab membawa isu ini ke pengetahuan kerajaan negeri dalam satu sesi pertemuan dan perbincangan 4 Jun lalu.

Alhamdulillah YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Bin Wan Ismail telah ambil maklum perkara ini dan sedang dan akan mengusahakan langkah-langkah sewajarnya secara berperingkat-peringkat projek menaik taraf Sungai Gementi,” ujar Roslan puas usai pertemuan itu.

Delegasi pertemuan pada hari itu telah diketuai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ir Haji Khairil Nizam Khirudin serta Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, YB Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarudin dan Ustaz Kamal Ashaari Al-Kerdawi.

Pada 5 Jun, sehari seusai pertemuan beliau dengan YAB MB, Jabatan Parit dan Saliran Bentong (JPS) telah melakukan kerja-kerja mendalamkan Sungai Gementi melibatkan satu backhoe dan satu escobator sebagai persediaan menampung jumlah air yang meningkat apabila hujan berterusan berlaku.

Menyusul selepas ini, diadakan pula perbincangan dua hala dengan YB Exco Kerajaan Negeri Pahang YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang dan Dato’ Jamaludin Buyong, Ahli Majlis Perbandaran Bentong beserta jurutera JPS Bentong.

PAS Kawasan Bentong dan Jabatan Amal Malaysia Bentong wajar diberi kredit kerana merekalah ‘wira tidak didendang’ pasukan paling awal turun meredah air bah dan bertungkus lumus membantu Jabatan Bomba Bentong dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam misi menyelamat mangsa-mangsa banjir hingga ke akhir kerja-kerja pembersihan.

Ketika ditanya apakah harapan beliau pada seluruh ahli masyarakat khususnya di Parlimen Bentong, beliau menggesa agar rakyat berfikir secara cermat dan waras dalam memilih wakil rakyat pada PRU-15 akan datang.

“Pilihlah wakil rakyat yang boleh dibawa berbincang bersama, mendengari dan menyantuni rakyat ketika rakyat memerlukan. Bukan wakil rakyat yang hanya masuk (check-in) bertanding untuk memenuhi tuntutan politik peribadi dan kemudian keluar (check-out) hilang tak nampak muka,” seru Bendahari Pemuda PAS Pusat ini penuh harap mengakhiri perbualan.

Semoga gabungan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno di Bentong berjaya menghantar seorang wakil rakyat DUN atau Parlimen yang mampu ‘bercakap’ mewakili suara rakyat dan menolak wakil rakyat ‘kaku dan bisu’ dalam PRU ke-15 akan datang, insya-Allah.

KHAULAH AL-AZWAR – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -