Pimpinan PAS Johor dilantik Penyelaras DUN

JOHOR BAHRU: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN pada majlis yang diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Advertisement

Pelantikan oleh Menteri Besar, Dato’ Ir Hasni Mohammad itu turut melantik Pengarah Pilihan Raya PAS Johor, Dr Karim Deraman dengan disaksikan sama Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Johor, Zaini Hussein.

Pada majlis turut dihadiri ADUN PAS Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep dan Naib Ketua Muslimat PAS Johor, Sabariah Mohd Amin itu, Abdullah dan Dr Karim masing-masing dilantik bagi DUN Pulai Sebatang dan DUN Pekan Nenas.

Pelantikan tersebut melengkapkan 27 Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN seluruh negeri ini bagi memastikan semua dasar dan program yang dilaksanakannya sampai kepada masyarakat secara menyeluruh.

Kata Hasni, pelantikan tersebut akan dapat membantu kerajaan memberikan segala penjelasan kepada masyarakat, selain mereka akan turut diberi peruntukan untuk menjayakan program lazim di peringkat masyarakat.

“Contohnya, jika berlaku banjir, kebakaran atau sebarang bentuk musibah, maka dengan adanya penyelaras ini bantuan dapat sampai dengan cepat dan tidak ada masyarakat terpinggir dan rasa dinafikan untuk terima bantuan,” katanya baru-baru ini

Beliau juga berkata mereka yang berkenaan akan bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan bagi mendengar keluhan rakyat di mana lantikan dibuat berdasarkan pengalaman dan keupayaan memikul tanggungjawab diberikan. – HARAKAHDAILY 26/8/2020