Penipuan pentadbiran PH mesti didedahkan

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat pendedahan Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan sejumlah 101 projek bernilai RM6.61 bilion telah diberikan oleh kerajaan secara rundingan terus di zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan garis panduan 7.15 Pekeliling Perbendaharaan Malaysia-Perolehan Kerajaan, rundingan terus boleh diadakan jika berasaskan kriteria-kriteria berikut, iaitu;

- Advertisement -

(i) Terdapat keperluan mendesak;
(ii) Bagi maksud penyeragaman;
(iii) Hanya satu punca bekalan;
(iv) Perkara melibatkan keselamatan;
(v) Perkara melibatkan strategi; dan
(vi) Kontrak dengan syarikat Pembuat Bumiputera.

Pemuda PAS berpendirian bahawa rundingan terus adakalanya dibolehkan selagi mengikut kriteria yang digariskan di dalam garis panduan dan pekeliling. Walau bagaimanapun, persoalan utamanya Pakatan Harapan sebelum ini begitu lantang memperjuangkan supaya semua projek dilaksanakan melalui tender terbuka dan rundingan terus dianggap sebagai rasuah. Akhirnya setelah menjadi kerajaan, mereka termakan dengan kata-kata sendiri dan terpaksa bertindak bertentangan dengan aspirasi mereka. 

Biarlah pendedahan semalam menjadi iktibar kepada semua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang supaya tidak melampau dalam mengutarakan janji-janji, tanpa memahami keadaan dan realiti sebenar. Bimbang akhirnya kita diberi kuasa dan berhadapan dengan situasi sebenar, akhirnya kita termakan dan terpaksa menjilat kata-kata sendiri. Semoga ianya menjadi pengajaran agar kita tidak berlebihan dalam mengecam atau membenci sesuatu. 

Pada masa yang sama, Pemuda PAS menegaskan bahawa segala unsur rasuah yang boleh berlaku dalam rundingan terus projek wajib dicegah dan dielakkan sama sekali. Sekalipun rundingan terus dibenarkan, namun pelaksanaannya harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan ketidaktelusan dalam agihan projek kerajaan. Semoga Malaysia terus terpelihara dari unsur rasuah dan salah guna kuasa. 

Oleh yang demikian, Pemuda PAS menegaskan bahawa Menteri Kewangan perlu mendedahkan semua senarai syarikat atau mereka yang terlibat di dalam rundingan terus ini supaya ketelusan dapat direalisasikan di dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Demi Islam”
“Kita Jaga Kita”

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -