PASTI tertua di Sabah ditimpa musibah kebakaran

- Advertisement -

TAWAU: PASTI Nurul Hanani di mana merupakan cawangan bersejarah sebagai PASTI pertama dan tertua di negeri ini telah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kuhara, di sini sekitar jam 2:00 petang tadi.

- Advertisement -

Tragedi mengejutkan ini bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan apabila semua 38 murid dan lima guru berjaya menyelamatkan diri melalui pintu utama premis tersebut.

Sebanyak dua jentera Bomba dengan kekuatan lebih 10 anggota telah bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal api sepenuhnya dalam 30 minit di mana siasatan punca masih dalam siasatan.

Pengarah PASTI Kawasan Tawau, Irwan Hamdan dalam ulasannya memberi komitmen mewakili pihak pengurusan untuk segera membangunkan semula premis itu yang turut menjadi markas tarbiyah sejak tahun 1986.

“Ini hari yang amat mendukacitakan kepada kita semua. Saya bagi pihak pengurusan memohon jutaan kemaafan kepada waris murid atas kejadian ini,” ujarnya.

Sementara itu Yang DiPertua PAS Tawau, Mohamad Husain yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang ditemui di lokasi bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan kepada murid dan guru.

Beliau juga melahirkan rasa lega kerana tiada kerosakan terhadap harta benda dan kediaman rumah-rumah yang bersebelahan dengan PASTI Nurul Hanani.

Para dermawan yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 10025010001555 atas nama Pusat Asuhan Tunas Islam Kawasan Tawau. – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -