Muktamar: Anjakan semangat Muslimat Pahang

- Advertisement -

KUALA KRAU: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang Kali Ke-32 telah dirasmikan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga ADUN Tanjung Lumpur pada majlis di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Perasmian dihadiri 99 perwakilan dan 27 pimpinan bertema hijau putih ini turut dimeriahkan dengan alunan surah al-Mumtahanah dialunkan qari cilik, Zahid Mustaqim dan persembahan montaj khas aktiviti Muslimat PAS Pahang setakat sesi ini.

Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor dalam ucapannya menyeru supaya kemahiran dan kepakaran Muslimat ditampilkan ke hadapan bagi membuktikan kemampuan menggerakkan agenda Muafakat Nasional terutamanya.

Beliau turut menyentuh keperluan perubahan minda dan tindakan sebagai sebahagian kerajaan dengan menyedari bahawa masyarakat kini sentiasa memerhati perbezaan yang mampu PAS berikan berbanding pemerintahan atau parti lainnya.

Sehubungan itu peringatnya, anggota Muslimat mesti berusaha melengkapkan diri dengan tarbiyah yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T serta wala’ dan thiqah kepada pimpinan agar mampu mendepani setiap cabaran dihadapi.

Sementara itu, dalam ucapan penangguhan disampaikan perwakilan kawasan telah menyentuh penegasan untuk anggota Muslimat mengadakan pecutan pantas dalam segala gerak kerja dan mendukung tanggungjawab dalam Muafakat Nasional.

Pengukuhan fikrah perjuangan menerusi program-program tarbiyah dan perlunya istiqamah, dukungan setia serta menjadi penggerak jentera pilihan raya juga perlu dijayakan setiap anggota, selain sentiasa bermusyawarah dan tidak terpengaruh musuh.

Anggota Muslimat juga diajak memiliki sifat memaafkan dalam mencari titik persamaan, berdakwah menyantuni rakan kerjasama PAS serta menunjukkan akhlak Islam di sebalik peranan aktif dalam hubungan bersama anggota parti-parti lain.

Turut tidak dilupakan adalah peringatan untuk mengukuhkan jati diri dalam mengisi kemenangan Islam menerusi kemantapan iman dan keyakinan pada Allah serta memantapkan amal ibadah seperti zikir dan qiyamullail, selain muhasabah dan taubat.

Muktamar turut dihadiri wakil pemerhati PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Abd Halim serta wakil Muslimat PAS Pusat, Fairuz Idris dan Khadijah Mahmud ini juga telah memberi kejutan sambutan hari jadi Ustazah Salamiah dengan sebiji kek. – HARAKAHDAILY 26/8/2020

- Advertisement -